Polis Perak Nafi Ada Kejadian Rompakan Bersenjata


SERI ISKANDAR - Polis menafikan kejadian rompakan bersenjata dikatakan berlaku di kawasan Bukit Berapit, Parit di sini, yang tular dalam laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkenaan kejadian samun atau rompakan yang berlaku di kawasan itu.

Menurutnya, polis sentiasa mengambil berat setiap isu berkaitan jenayah yang ditimbulkan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terjamin.

“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang maklumat dan laporan berkenaan kejadian samun atau rompakan di kawasan Bukit Berapit seperti yang tular dalam laman sosial.

“Pada tahun lalu, kami ada menerima laporan terdapat budak sekolah yang membaling batu dan terkena kereta pengguna jalan raya, namun mereka bukanlah mahu menyamun atau sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan sebarang berita palsu seumpama itu kerana boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kami tidak menerima sebarang laporan berkenaan samun atau rompakan di kawasan itu seperti yang didakwa.

“Sekiranya ada berlaku kejadian seumpama itu saya nasihatkan segera membuat laporan polis dan bukan melaporkan di media sosial supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Sebelum itu, tular dalam Facebook yang mengatakan berlaku rompakan bersenjata di kawasan Bukit Berapit, Parit.

Dalam mesej itu, orang ramai juga turut diingatkan agar tidak menggunakan jalan itu selepas jam 10 malam dan dikatakan penjenayah menggunakan pelbagai taktik untuk memberhentikan kenderaan mangsa.

Dikatakan juga penjenayah berkenaan akan menghentak kereta mangsa dari belakang supaya mangsa memberhentikan kereta dan seterusnya merompak mangsa.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com