Polis Berkas Tokan Dadah Di Pendang


PENDANG - Tokan dadah yang aktif melakukan aktiviti pengedaran di sekitar daerah ini tumpas apabila dia diberkas di Kampung Baru, Jalan Sungai Tiang di sini, petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Pendang,  DSP Fadzil Hashim berkata duda berusia 32 tahun itu ditahan pada 5.30 petang bersama 57.08 gram heroin bernilai kira-kira RM900 ketika sedang menunggu penagih yang datang mendapatkan bekalan daripada suspek.

"Ketika pemeriksaan dilakukan di dalam beg kain berzip warna hitam sambil disaksikan suspek, polis menemui dua paket plastik lutsinar yang berisi dadah heroin.

“Kami merampas dadah tersebut dan dibawa balik ke pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis  Pendang Kedah untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Turut dirampas wang tunai RM200  dipercayai hasil jualan dadah.

Fadzil berkata, suspek yang mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 39A (2) akta sama, didapati positif dadah jenis morfin dan methamphetamine.  

Suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com