PM Puji Pengurusan Bencana Banjir Lancar


KUANTAN – Kaedah pengurusan bencana banjir yang bertambah baik dari semasa ke semasa mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat yang dilanda musibah di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri memuji usaha yang dijalankan bagi membantu mangsa di negeri-negeri yang dilanda banjir setakat ini, yang disifatkannya sebagai lebih lancar dan tersusun.

Namun, beliau meminta pihak berkenaan supaya terus menambah baik kemudahan yang disediakan bagi memberi keselesaan kepada mangsa banjir.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim sebagai Menteri (di Jabatan Perdana Menteri) yang bertanggungjawab dalam menyelaras bantuan ke pusat-pusat pemindahan dan agensi terlibat yang membantu berikutan bencana kali ini.

“Kita bersyukur keadaan banjir di Semenanjung Malaysia bertambah baik dan banyak pusat-pusat pemindahan telah tutup. Mangsa-mangsa juga boleh balik ke rumah masing-masing tidak lama lagi,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Sri Damai di sini, semalam.

Ia merupakan satu-satunya pusat pemindahan yang masih dibuka di Kuantan dengan menempatkan 62 mangsa.

Selain Shahidan, perdana menteri juga diiringi oleh Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Terdahulu, Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan meluangkan masa melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Temai, Pekan. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com