PKR Bimbang Rebutan Kuasa Dalam Pakatan, PAN Juga Beri Amaran


Rakyat kini melihat parti gabungan pembangkang sedang berebut "kuasa' atau jawatan Perdana Menteri sesama sendiri. Kemelut itu dijangka berlarutan dan akan melemahkan semangat penyokong jentera parti dalam Pakatan Harapan.

PKR Pulau Pinang menyifatkan polemik cadangan nama calon Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan menyebabkan keresahan penyokong parti.

Pengerusinya, Datuk Dr. Mansor Othman mengingatkan  isu pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dilihat dari konteks politik semata-mata kerana ia terkait rapat dengan isu perundangan.

Menerusi satu kenyataan, Dr. Mansor meminta semua pihak dalam pembangkang perlu ‘memahami’ Perkara 43(2)(a) yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik ahli Dewan Rakyat pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli dewan sebagai Perdana Menteri.

Pakatan Harapan yang diketuai DAP kini berdepan kemelut apabila wujud pertikaian berhubung individu yang layak menjadi Perdana Menteri sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Pengerusi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini dikatakan mendapat sokongan DAP untuk jawatan berkenaan, namun ditolak ahli akar umbi PKR yang mahukan Presiden mereka, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Perdana Menteri.

Pada Mesyuarat Agung Tahunan PPBM 30 Disember lepas, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin  dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mahukan Dr. Mahathir dicalonkan kerana pengalaman luas Pengerusi PPBM itu dalam pentadbiran negara.

Isu berkenaan bertambah panas apabila penyokong kem Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali mahukan Menteri Besar Selangor itu diberikan peluang berkenaan. 

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disebut sebagai calon Perdana Menteri Ke-7 yang dijadual dibebaskan Jun depan bagaimanapun tidak sempat menjawat jawatan itu kerana masih tidak layak berdasarkan sekatan undang-undang.

Kelmarin, semasa konvensyen Wanita PH di Kajang Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan AzizahWan Ismail menyatakan kaum wanita juga layak untuk memegang jawatan itu dan bersedia mengambil tugas penting berkenaan.

Walaupun beliau tidak merujuk kepada diri beliau bagi jawatan tersebut, Ketua Wanita Pakatan Harapan yang juga Ketua Wanita PKR Zuraidah Kamaruddin berpendapat Dr. Mahathir lebih sesuai  diberi jawatan Menteri Kanan dan bukan Perdana Menteri.   

Sementara itu Parti Amanah Negara (PAN) turut  memberi amaran kepada kepimpinan Pakatan Harapan (Harapan) agar tidak menjadi pengkhianat kepada gabungan parti pembangkang itu.

Ketua Pemudanya, Mohd Sany Hamzan berkata, kepimpinan parti itu harus taat, setia dan mematuhi ketetapan pemimpin tertinggi Harapan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com