PIBG Sekolah Di Kuala Kedah Nafi Makan Duit Haram


KUALA KEDAH - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Ismail  di Kuala Kedah menafikan tohmahan seorang pengguna Facebook yang memuat naik kenyataan guru-guru sekolah berkenaan mengambil duit haram melalui Projek Letak Kereta.

Yang Dipertua PIBG, Suwandi Abu Bakar berkata, seorang pengguna Facebook mengeluarkan beberapa kenyataan tidak benar berkaitan Projek Letak Kereta PIBG SK Haji Ismail pada 12 Januari lepas.

“Antaranya kami dituduh ketagih duit haram. Lebih menyedihkan, kakitangan sekolah didakwa makan duit haram melalui hasil program itu. Keadaan sekolah tidak berubah walaupun wang  telah digunakan.

“Akibat tuduhan palsu itu, kami dapati masyarakat setempat mula memandang serong terhadap pentadbiran, guru, staf dan PIBG SK Haji Ismail,” katanya.

Suwandi berkata, pihaknya juga kesal kerana tohmahan palsu itu yang kini tular di Facebook dikhuatiri menjejaskan nama dan imej sekolah.

Susulan itu, beliau menegaskan bahawa dakwaan mengatakan kakitangan sekolah terutama guru mengambil duit haram melalui program itu tidak benar sama sekali.

“Tiada seorang pun guru sekolah ini terlibat dalam program itu. PIBG sekolah yang memulakan program itu,” katanya.

Menurut Suwandi, PIBG mengambil inisiatif melaksanakan Projek Letak Kereta dalam kawasan sekolah ketika musim cuti sejak 2001 lagi.

Tambahnya, selama ini projek tersebut tidak pernah mendatangkan apa-apa masalah, apatah lagi mengundang risiko seperti didakwa pengguna Facebook itu.

Katanya lagi, pihaknya mengikut garis panduan ditetapkan termasuk mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dan mengambil lesen dari Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Melalui Projek Letak Kereta PIBG SK Haji Ismail, katanya, pengguna diberi kebenaran menggunakan perkhidmatan meletakkan kenderaan di tapak disediakan dalam kawasan sekolah.

Menurutnya, ada petugas yang ditempatkan untuk mengurus perkhidmatan letak kereta dan menjaga kenderaan diletakkan dalam kawasan sekolah.

Tambahnya, program itu tidak dijalankan pada hari persekolahan, sebaliknya pada waktu cutidan hujung minggu seperti Jumaat dan Sabtu sahaja.

“Jadi, tiada sebarang gangguan ataupun masalah kepada murid. Malah, kita dapat keyakinan pengguna yang meletakkan kenderaan di kawasan sekolah untuk ke Langkawi kerana berasa lebih selamat,” katanya.

Suwandi menjelaskan, program itu diwujudkan PIBG SK Haji Ismail lebih kurang 17 tahun lepas dalam usaha membantu menambah dana sekolah, selain dana daripada kerajaan.

Tambahnya, setiap PIBG sekolah sebenarnya memiliki kaedah dan cara tersendiri bagi mengumpul dana untuk tabung PIBG sekolah masing-masing.

“Ada PIBG sekolah ambil inisiatif tanam sayur dan jual, ada pula bela ikan dan jual.

"Secara kebetulan lokasi sekolah dekat Jeti Kuala Kedah, jadi kami sediakan perkhidmatan tempat letak kereta untuk pengguna feri ke Langkawi,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menyediakan perkhidmatan letak kereta untuk pengguna feri dari Kuala Kedah ke Langkawi pada waktu cuti untuk menampung tabung PIBG sekolah.

Katanya, usaha menambah dana berkenaan dilakukan PIBG bagi menyediakan kemudahan dan prasarana pendidikan lebih sempurna demi keselesaan murid.

Malah katanya, pihaknya juga mahu membantu pengguna feri mendapatkan perkhidmatan meletakkan kereta yang selesa dan keselamatan terjamin.

“Saya harap orang awam tidak salah faham. Projek Letak Kereta ini bukan projek bina parkir kereta baru, sebaliknya ia adalah perkhidmatan disediakan sekolah untuk pengguna feri,” katanya.

Suwandi berkata, PIBG sekolah kemudian akan memasukkan wang kutipan hasil perkhidmatan tempat letak kereta itu ke akaun Tabung PIBG SK Haji Ismail.

“PIBG sekolah akan menggunakan dana dikumpulkan untuk menjalankan program melibatkan murid, selain menambah baik prasarana sekolah,” katanya.

Suwandi berkata, setakat ini PIBG SK Haji Ismail telah membantu menaik taraf beberapa kemudahan dan prasarana menggunakan wang kutipan Projek Letak Kereta untuk murid sekolah berkenaan.

Antaranya, membantu sekolah membina dan menaik taraf kemudahan tandas, kelas tahun lima serta gelanggang serbaguna, dan memasang pendingin hawa dalam surau dan dewan supaya murid selesa.

Malah katanya, pihaknya turut meringankan bebanan ibu bapa dengan memberi sumbangan songkok dan tudung hitam kepada murid baharu yang digunakan ketika Pendidikan Jasmani dan Hari Kokurikulum.

Dalam perkembangan lain katanya, pihaknya akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang dan merujuk pengamal undang-undang demi mendapatkan pandangan berkaitan isu itu.

Terdahulu, satu laporan polis dibuat pada 14 Januari 2018 di Balai Polis Kuala Kedah bagi menafikan dakwaan pengguna Facebook dan membersihkan nama sekolah.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com