Piala Super Suramadu: Marcote Puas Hati Aksi Ikat Persija


ALOR SETAR - Pemain muda Hidhir Idris membuktikan ketajamannya sebagai penjaring apabila menghadiahkan gol tunggal Kedah ketika aksi Piala Super Suramadu menentang Persija Jakarta di Stadium Gelora Bangkalan, Jawa Timur, Indonesia semalam.

Aksi penuh bersemangat yang dipamerkan pemain-pemain tempatan lain ketika merakam keputusan seri 1-1 itu juga sudah cukup untuk memikat hati ketua jurulatih Ramon Marcote yang menganggap Persija kendalian Stefano Cugurra - kini di kedudukan keempat liga 1 Indonesia - antara pasukan terkuat di Indonesia.

"Persija sebuah pasukan yang bagus. Walaupun mencatat keputusan seri malam ini, saya tetap gembira kerana kita dapat beraksi baik dengan hanya menurunkan pemain tempatan (Malaysia) pada separuh masa pertama berbanding pihak lawan yang disertai empat import," kata Marcote dalam sidang media selepas perlawanan.

"Kami mengawal permainan dengan baik sepanjang perlawanan termasuk tiga peluang terbaik, cuma kami sedikit berhati-hati dengan serangan balas dan percubaan bola mati kerana pihak lawan mempunyai pemain import, Marko Simic dan pemain dari Brazil yang mampu memberi ancaman di bahagian benteng kami. Namun inilah bola sepak, menerusi satu percubaan yang berhasil menyebabkan kami ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama.

"Selepas pihak lawan mendapat kad merah kami meningkatkan penguasaan dan berjaya menghasilkan gol pada babak kedua dan kami dapat menguasai permainan dengan lebih baik selepas itu.

"Pemain import Alvaro Silva dan penyerang Pablo Pallares juga dilihat semakin menunjukkan penyesuaian yang baik berbanding sebelum ini, manakala Pallares juga berjaya membantu pasukan melalui hantaran yang menghasilkan gol pada malam ini."

Pada perlawanan yang disiarkan secara langsung menerusi laman Youtube Madura United TV, Persija Jakarta membuka jaringan pada minit ke-26 menerusi bekas pemain Melaka United, Simic.

Kedah meneruskan usaha memburu gol penyamaan dan pada minit ke- 38 pengadil melayangkan kad merah kepada pemain Persija kerana mengasari pemain muda Kedah Akmal Azmi.

Kelebihan itu dimanfaatkan Kedah sebaiknya dan pada minit ke-58 Hidhir menyamakan kedudukan selepas menyudahkan hantaran Pallares.

Pemain sayap itu turut menjaringkan gol ketika Kedah menentang Persela Isnin lalu dan mempamerkan persefahaman yang baik dengan Syazwan Zainon dan Baddrol Bakhtiar di bahagian tengah.

Kedah akan bertemu tuan rumah Madura United FC pada perlawanan terakhir Jumaat ini.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com