Piala Sumbangsih: Kedah Terpaksa Lupakan Khidmat 2 Import


ALOR SETAR - Pasukan Kedah terpaksa melupakan hasrat untuk menyenaraikan empat pemain import pada aksi Piala Sumbangsih bertemu juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Larkin, 3 Februari ini kerana dua daripadanya masih belum pulih dari kecederaan.

Menurut pengendali Kedah, Ramon Marcote, pemain pertahanan kerakyatan Filipina, Alvaro Silva mengalami kecederaan kaki sewaktu menentang kelab Thailand, Suphanburi FC pada 24 Januari lalu dan seorang lagi pemain import kelahiran Brazil, Sandro Da Silva sebelum itu juga belum pulih dari kecederaan.

Katanya, ketiadaan mereka meresahkan ketua jurulatih kelahiran Sepanyol itu kerana dua tonggak import itu berada dalam perancangan penting pada perlawanan di Stadium Larkin selain dua import lain iaitu Pablo Pallares dan Liridon Krasniqi.

"Kita besar kemungkinan terpaksa melupakan dua import berkenaan kerana masih belum pulih dan ini memaksa saya melakukan beberapa perubahan dan mencari pengganti yang mampu menggalas tugas di posisi berkenaan.

"Inilah bola sepak, apa saja boleh berlaku. Kami terpaksa berhadapan dengan masalah kecederaan pemain yang di luar jangkaan," katanya memetik BH Online.

Sementara itu penyerang, Pablo Pallares yang dikeluarkan pada babak pertama perlawanan pramusim menentang Suphanburi FC akibat kecederaan namun dikhabarkan tidak serius.

"Kecederaan Pallares pada perlawanan itu tidak serius dan saya berharap dia bersedia dan mampu beraksi pada perlawanan pertama kami nanti," tambah Marcote. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com