Pesara Polis Sambut Baik Pengumuman PM


KUALA LUMPUR - Pengumuman empat insentif oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam menjaga kebajikan pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) disifatkan kena pada masanya.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata pengumuman Perdana Menteri itu membuktikan pesara polis tidak pernah dipinggirkan dan pengorbanan mereka sentiasa dihargai.

"Saya amat bersyukur dengan khabar gembira diumumkan Perdana Menteri kerana ia dapat membantu menjaga kebajikan bekas polis lebih-lebih lagi mereka amat berjasa kepada negara.

"Ini adalah usaha murni dan baik dilakukan kerajaan terutama dalam memperuntukkan kuota khas haji, rumah mampu milik dan peruntukan untuk Tabung Amanah Warisan PDRM," katanya ketika dihubungi, semalam.

Musa berkata, walaupun tidak lagi berkhidmat, pesara polis adalah aset penting kepada negara kerana pengalaman dan kepakaran mereka boleh dimanfaatkan dalam membantu meneruskan agenda pembangunan negara.

Sementara itu, bekas Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Datuk Dr Hassan Yusof, berkata idea Perdana Menteri untuk menubuhkan Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis di peringkat kontinjen di seluruh negara amat bertepatan.

"Sebelum ini, Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis hanya di peringkat Pusat dan dengan adanya di peringkat kontinjen, kebajikan pesara polis akan lebih tersusun dan memudahkan bantuan disalurkan kepada mereka.

"Terima kasih Perdana Menteri kerana sering mengambil berat kebajikan pesara polis. Peruntukan diberikan dalam Tabung Amanah Warisan PDRM berupaya membantu pesara polis terutama mereka yang bersara ketika berpangkat rendah," katanya.

Najib ketika berucap pada majlis Perjumpaan Pesara-Pesara Polis bersama Perdana Menteri pagi tadi mengumumkan empat khabar gembira buat 123,000 pesara PDRM iaitu peruntukan RM3 juta setahun selama tiga tahun untuk Tabung Amanah Warisan PDRM, kuota khas haji, kuota khas skim Rumah Mampu Milik Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia-PDRM dan mewujudkan Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis di setiap negeri.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com