Permohonan Bantuan Am JKM Di Kulim Meningkat 40%


ALOR SETAR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulim merekodkan peningkatan sebanyak 40 peratus jumlah permohonan bantuan am pada hujung tahun lalu.  

Pegawai JKM Kulim M,ohamad Zarir Mohamad Khozali berkata, trend peningkatan tersebut dipengaruhi oleh faktor ekonomi ekoran tindakan beberapa syarikat di sekitar kawasan itu yang terpaksa membuang pekerja atau pun berpindah ke lokasi lain.

"Kebiasaannya setiap bulan secara puratanya kami merekodkan 10 hingga 20 permohonan sebulan namun pada Disember tahun lalu kami terima lebih 50 permohonan," katanya kepada pemberita pada Ahad lalu.

Kulim adalah kawasan perindustrian utama yang terletak kira-kira 110 kilometer dari bandar Alor Setar dan turut menempatkan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dengan lebih 10 syarikat multinasional yang beroperasi di situ.

Tambahnya, permohonan tertinggi yang dicatatkan berpunca daripada mereka yang dibuang kerja serta-merta dan kebanyakan mereka yang memohon memberi alasan mahu menyediakan peralatan persekolahan anak-anak dan untuk sara hidup sementara menunggu pekerjaan baharu.

"Untuk itu, kami cuba bantu mereka melalui bantuan am JKM dan mereka juga perlu mendapatkan kerja semula dalam tempoh tiga hingga enam bulan kerana bantuan tersebut diberi dalam tempoh itu sahaja," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menghulurkan bantuan dengan mengagihkan pertolongan kepada hampir RM1.6 juta pemohon yang layak melalui peruntukan kerajaan persekutuan bagi bulan Jun hingga Dis lalu.

Sepanjang tempoh itu, bantuan diberikan kepada 1,287 orang di Kulim, 1,208 (Lunas) dan 1,556 (Merbau Pulas), katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com