Permainan 'Camp Warriors' Galak Alumni PLKN Sertai Briged Sukarelawan


ALOR SETAR -  Satu aplikasi permainan dalam talian 'Camp Warriors' diperkenalkan oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) sebagai langkah menggalakkan alumni Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mendaftar dan menyertai Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN).

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata, BSKN ditugaskan bagi menggerakkan alumni PLKN supaya lebih giat melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarelawan dan mempraktikkan segala yang dipelajari di PLKN untuk berkhidmat kepada masyarakat.

"JLKN menyasarkan semua alumni PLKN seramai 865,086 orang yang mengikuti latihan PLKN sejak 2004 hingga 2017 mendaftar dan menjadi ahli BSKN. Permainan Camp Warriors ini digunakan sebagai salah satu kaedah tarikan untuk alumni PLKN mendaftar.

"Dalam tempoh tiga bulan permainan ini diperkenalkan, 60,000 alumni PLKN berdaftar sekali gus menjadikan mereka ahli BSKN dan sehingga 31 Dis lalu, jumlah keahlian bagi BSKN ialah 323,314 orang," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Permainan Dalam Talian Camp Warriors PLKN di Dataran Darul Aman di sini kelmarin.

Dengan adanya aplikasi permainan Camp Warriors, semua alumni PLKN diharapkan dapat berinteraksi semula antara satu sama lain bagi menghidupkan semula semangat perpaduan dan sukarelawan demi negara tercinta.

Permainan Camp Warriors itu dijangka dapat mencipta satu gelombang sukarelawan yang mempunyai jati diri kukuh dan tidak pernah berhenti untuk mencurahkan khidmat bakti kepada masyarakat.

"Saya lihat sambutan terhadap permainan ini baik berikutan jumlah ahli BSKN yang bertambah setiap minggu. Mereka yang menjadi sukarelawan ini dapat membantu sekiranya berlaku bencana terutamanya ketika musim banjir.

"Pertandingan Camp Warriors ini akan berlangsung selama satu tahun bermula 1 Sept 2017 hingga 31 Ogos tahun ini, dan terbuka kepada semua alumni PLKN. Ia menawarkan pelbagai hadiah lumayan antaranya motosikal, telefon pintar, pakej pelancongan dan komputer riba," katanya.

Camp Warriors dibangunkan oleh JLKN yang berasaskan permainan strategi perang bagi alumni PLKN, dan boleh dimuat turun di Google Play atau Apple Store atau boleh melayari laman sesawang di contest.khidmatmegara.gov.my.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi PLKN 2.0 Kumpulan 1 Siri 15 tahun 2018 akan dilaksanakan sebanyak empat sesi pengambilan iaitu Kumpulan 1 (6 Jan-4 Mac), Kumpulan 2 (17 Mac-13 Mei), Kumpulan 3 (14 Julai-9 Sept) dan Kumpulan 4 (22 Sept-18 Nov). - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com