Perhilitan Tumpas Penyeludupan Daging Babi Hutan Ke Negara Jiran


DAGING babi hutan Malaysia diseludup secara besar-besaran ke negara jiran Thailand.

Ini dibuktikan hasil kejayaan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan sebuah pacuan empat roda sarat membawa daging babi hutan siap dilapah.

Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya berjaya mematahkan kegiatan haram itu susulan penahanan suspek dalam satu operasi sekatan jalan raya (SJR) di Lalang Pepuyu, Tanah Merah, Kelantan baru-baru ini.

Menurutnya, operasi Jabatan Perhilitan Kelantan turut disertai Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan hidupan liar dilindungi.

"Pihak kami menahan dan memeriksa sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disyaki membawa hidupan liar.

"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 122 bahagian babi hutan yang siap dilapah dan diletakkan dalam kenderaan itu. Suspek yang memandu kenderaan itu adalah seorang lelaki tempatan dan tidak mempunyai sebarang lesen sah dikeluarkan Jabatan Perhilitan untuk membawa hidupan liar itu," katanya,

Kadir berkata, daging hidupan liar itu dipercayai cuba diseludup keluar dari Malaysia.

"Anggota Jabatan Perhilitan menyita kesemua bahagian hidupan liar itu serta kenderaan berkenaan. Suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tanah Merah untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] kerana menyimpan hidupan liar tanpa lesen.

"Saya percaya hidupan liar itu diperolehi secara

tidak sah melalui aktiviti pemburuan haram. Babi hutan adalah hidupan liar dilindungi mengikut Akta 716 dan salah satu sumber makanan selain rusa sambar dan kijang bagi hidupan liar pemangsa seperti harimau belang," katanya.

Menurutnya, pemburuan hidupan liar tidak terkawal ini boleh memberi ancaman kepupusan harimau belang secara drastik akibat kekurangan sumber makanan dan berupaya memberi risiko serangan harimau belang terhadap manusia.

"Pemburuan hidupan liar dibenarkan namun secara terkawal melalui pengeluaran lesen memburu hidupan liar dikeluarkan Jabatan Perhilitan," katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com