Peraturan Larangan Memakai Tudung Bagi Pekerja Hotel Masih Berleluasa


KUALA LUMPUR - Meskipun menjadi hangat diperkatakan selepas lara­ngan bertudung terhadap pekerja hotel di negara ini didedahkan oleh Utusan Malaysia kira-kira dua bulan lalu, namun isu tersebut dilihat masih belum berjaya diselesaikan.

Presiden Pe­rika­­tan Wa­nita An­tara­bangsa untuk Institusi Keluar­ga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Profesor Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, hasil temu bual pihaknya dengan beberapa pekerja hotel yang mendakwa menjadi mangsa diskriminasi peraturan tersebut, didapati tiada perubahan berlaku sejak isu tersebut dibawa ke perhatian media dan pihak berkuasa.

“Kami telah mengatur pertemuan dengan tiga orang pekerja hotel yang terlibat dengan larangan ini dan kami mendapati larangan tersebut bukan hanya untuk kakitangan barisan hadapan sahaja, sebaliknya turut membabitkan jawatan lain yang melibatkan interaksi dengan pelanggan seperti juruwang, pengurus acara, kakitangan jamuan dan pembersih bilik.

“Malahan, permintaan daripada pekerja hotel ini untuk memakai tudung ditolak berkali-kali oleh pihak pengurusan hotel dengan alasan menunggu arahan daripada Persatuan Hotel Malaysia (MAH),” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Majlis Perhubu­ngan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohammed Shafie BP Mammal berkata, jalan penyelesaian sukar dicapai kerana MAH gagal untuk menghadirkan diri dalam mesyuarat yang telah diatur oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), awal Disember lalu.

“Kegagalan MAH untuk hadir menyebabkan perbincangan terbantut kerana isu ini adalah antara pekerja dengan mereka. Bagaimana ingin berbincang tanpa mereka?

“Tindakan MAH yang tidak mahu perbincangan dilakukan menunjukkan mereka seolah-olah mempunyai kekebalan untuk me­lakukan apa-apa sahaja yang mereka suka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Shafie turut mendesak Kementerian Sumber Manusia supaya bertindak lebih agresif terhadap hotel-hotel yang melaksanakan larangan tersebut.

“Pihak kementerian tidak sepatutnya berasa takut dengan mereka. Kementerian perlu bertindak, rakyat sedang memerhati reaksi kerajaan terhadap isu ini,” katanya.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com