"Perang Kerusi" Dalam Pakatan Harapan Bermula


ALOR SETAR - Sebagaimana yang dijangka, insiden perebutan kerusi dalam kalangan parti yang menganggotai Pakatan Harapan bakal menjadi masalah besar dan sangat rumit untuk diselesaikan parti-parti berkenaan.

Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Johor,  Aminolhuda Hassan dalam satu kenyataan kepada media pro-pembangkang, Malaysiakini, mendakwa pihaknya bertindak memboikot Konvensyen Pakatan Harapan gara-gara masalah tersebut.

Menurut beliau, pihaknya tidak berpuas hati tentang masalah pembahagian kerusi Parlimen di negeri itu apabila PAN Johor hanya diberikan cuma dua kerusi untuk ditandingi berbanding jumlah keseluruhan 26 kerusi di negeri berkenaan.

"Kami minta lima kerusi parlimen, tetapi dapat dua (kerusi) sahaja - Parit Sulong dan Pulai.

"Jadi kami rasa tak perlu datang. Semua pemimpin PAN Johor tak datang," tegasnya kepada portal berita pro-pembangkang itu, semalam.


Sementara itu, Pengerusi PAN Perak, Asmuni Awi turut tidak berpuas hati dengan masalah yang sama sehingga beliau membuat keputusan untuk tidak menghadirkan diri ke konvensyen yang berlangsung di Shah Alam itu.

"Saya sendiri tak datang kerana (isu) pembahagian kerusi, tetapi yang lain (dari PAN Perak) datang," katanya, memetik daripada sumber yang sama.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yasin yang mengulas mengenai ketidakpuasan hati para pemimpin PAN Negeri itu mahu mereka supaya menghormati keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi.

"Sebaik sahaja peringkat tertinggi membuat keputusan, anda perlu menghormatinya," katanya.

Kenyataan tersebut pula dilihat agak bertentangan dengan kenyataan Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub, yang menegaskan supaya semua pihak diberi hak dan peluang untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka.

Menurut bekas Naib Presiden PAS itu, perbincangan mengenai pembahagian kerusi dalam kalangan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan belum lagi muktamad sebagaimana yang disangka.

"Berilah mereka peluang untuk tunjukkan rasa tidak puas hati dengan bilangan kerusi (yang diperuntukkan).

"Perbincangan belum muktamad. Kita akan terus (berunding) untuk kerusi DUN. Kami akan selesaikan di peringkat pusat," tegasnya.

Pengerusi DAP Johor, Liew Ching Tong pula dilaporkan enggan memberi sebarang ulasan mengenai pertikaian yang sedang meruncing di negeri berkenaan.

Sebelum ini, ramai penganalisis politik tanahair menjangka akan berlaku masalah besar mengenai pembahagian kerusi di dalam Pakatan Harapan, khususnya selepas gabungan pembangkang itu disertai oleh PAN.

Masalah itu juga dijangka akan lebih meruncing selepas PPBM menyertai Pakatan Harapan kemudiannya dan memungkinkan pepecahan besar serta insiden sabotaj yang memecah belahkan gabungan tersebut. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com