Perancis Tak Boikot Minyak Sawit


KUALA LUMPUR - Perancis tidak akan mendiskriminasi minyak kelapa sawit dari Malaysia ketika blok Kesatuan Eropah (EU) mengenakan larangan import komoditi itu kepasaran Eropah menjelang 2021.

Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly, berkata sebagai antara negara pengasas EU dan rakan kepada Malaysia, Perancis mempunyai pendirian tersendiri berhubung isu itu.

Katanya, Kerajaan Perancis amat memahami kepentingan industri minyak kelapa sawit kepada ekonomi Malaysia.

"Isu ini (larangan import minyak kelapa sawit) dikendali EU. Dari perspektif Perancis, ia amat mudah iaitu tiada diskriminasi kepada minyak sawit dengan tidak mengenepikan sumber minyak lain di peringkat nasional atau Eropah.

"Secara ringkasnya, Malaysia boleh bergantung kepada Perancis (untuk membantu dalam isu minyak sawit)," katanya kepada pemberita dalam sidang media bersama dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Bersama Pertahanan Strategik Malaysia-Perancis Ke-4 di Wisma Perwira ATM di sini semalam.

Parly berkata isu larangan import minyak sawit itu menjadi isu utama dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan pagi tadi.

Beliau yang kali pertama melawat Malaysia itu berkata, Perancis percaya isu kelestarian minyak sawit itu boleh diselesaikan menerusi dialog.

Hishammuddin berkata pendirian Perancis itu membuktikan kerjasama yang terjalin antara dua negara, termasuk dalam bidang ketenteraan, membantu menyelesaikan isu minyak sawit secara positif.

"Industri minyak sawit amat penting kepada Malaysia membabitkan kepentingan 650,000 peneroka/pekebun kelapa sawit. Lebih 1.5 juta terbabit dalam rantaian industri sawit," kata Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas.

Media melaporkan Malaysia akan mengkaji semula dagangan dengan EU susulan tindakan boikot blok itu ke atas minyak kelapa sawit.

Kajian semula itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, minggu lalu.

Parlimen Eropah pada April lalu meluluskan resolusi yang mensyaratkan hanya minyak sawit dihasilkan secara lestari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2020, tindakan yang disifatkan diskriminasi produk Asia.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com