Penyokong Panik Stadium Retak


LISBON - Perlawanan Liga Portugal antara FC Porto dan Estoril terpaksa dihentikan pada separuh masa pertama dan penyokong diarah meninggalkan tempat duduk selepas terdapat kesan keretakan, semalam.

Estoril mendahului 1-0 pada separuh masa pertama apabila pegawai keselamatan mengarahkan penonton di salah satu ruang di Stadium Antonio Coimbra da Mota meninggalkan tempat duduk masing-masing.

Menurut gambar yang dimuat naik di laman Twitter FC Porto, kesan retak yang agak teruk kelihatan di struktur di tempat duduk penonton.

"Perlawanan ditangguhkan selepas wujud masalah pada struktur di tempat duduk penonton di Stadium Antonio Coimbra da Mota," menurut Porto menerusi Twitter.

Menurut laporan Sports TV yang menyiarkan perlawanan itu secara langsung, salah satu daripada tiang itu mempunyai keretakan sepanjang dua sentimeter.

Sebahagian peminat Porto dilihat melompat dari tempat duduk dan memasuki padang pada separuh masa pertama, menurut jurugambar AFP.

Juruacara stadium berkenaan kemudiannya mengumumkan perlawanan itu tidak akan disambung dan kelab Estoril berkata, babak kedua akan disambung pada hari yang akan ditentukan kelak. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com