Pensyarah Meninggal Dunia Selepas Bayar Tol


DUNGUN - Seorang pensyarah meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung selepas membayar tol di Plaza Tol Bukit Besi, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam, Che Ku Mohamad Rafee Che Ku Ali, 45, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bukit Besi, kira-kira jam 10.30 malam. 

Sebelum kejadian, Che Ku Mohamad, yang bertugas di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato Razali Ismail, Batu Rakit, Kuala Nerus itu dikatakan dalam perjalanan untuk menemui seorang rakannya di Bukit Besi. 

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata mangsa dikatakan memandu seorang diri dengan membawa kereta jenis BMW berwarna putih. 

Katanya, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Cendering, Kuala Terengganu dan berjanji untuk bertemu dengan seorang rakannya dari Kemaman di Bukit Besi. 

"Selepas membayar tol di plaza tol terbabit,  mangsa dipercayai diserang penyakit jantung dan berhenti berhampiran plaza tol terbabit. 

"Beberapa anggota peronda lebuh raya yang bertugas di situ memberi bantuan kepadanya," katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun. 

Katanya, mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bukit Besi, namun disahkan meninggal dunia sejurus selepas itu. 

"Jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com