Penjual Ikan Mati Dibunuh Gara-Gara Cinta


SLIM RIVER – Seorang penjual ikan di Pasar Slim River mati dibunuh teman lelaki kakaknya di hadapan sebuah rumah di Taman Slim Permai di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa Rosli Zulkharnain Kamaruddin, 30, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Slim River akibat kecederaan parah selepas ditikam dengan pisau pada bahagian perut.

Ketua Polis Daerah Muallim, Supt. Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata suspek lelaki yang berumur 47 tahun turut cedera selepas dibelasah oleh abang mangsa.

“Abang mangsa yang berusia 38 tahun itu kini ditahan kerana mencederakan suspek termasuk menghentak belakang kepalanya di atas jalan raya.

“Suspek yang merupakan jiran mangsa menjalin hubungan cinta dengan kakak mangsa berumur 35 tahun selain tidak menolak kemungkinan kejadian itu mempunyai kaitan dengan masalah keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini..

Beliau berkata polis telah merampas dua unit telefon bimbit dan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.   – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com