Pengurusan Kes Geng Pak Su Ditetapkan 11 Februari Ini


ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi di sini semalam telah menetapkan tarikh 11 Februari depan untuk pengurusan kes membabitkan Ketua Geng Pak Su, Johari Ariffin dan 29 pengikutnya yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Menurut Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mohd Izham Ali, membuat ketetapan itu pada prosiding pengurusan kes di hadapan kesemua tertuduh.

Memetik BH Online, ketetapan berkenaan dibuat bagi membolehkan penyerahan dokumen berkaitan dan memberi peluang kepada tertuduh peguam melantik peguam masing-masing.

Kesemua tertuduh hadir pada sesi berkenaan, iaitu Johari, 36; Rosidi Aziz, 36; Norazif Ahmad, 38; Shahadan Salim, 39; Fairus Hafiz Mohd Yusoff, 25; M Murugan, 37; Rosli Ariffin, 41, dan Sariman Idris, 43.

Mohd Norhizam Zamzuri, 30; Faizol Sobri, 30; Amirul Ashraf Hussain, 21; Muhamad Ashraf Aziz, 24; Faizal Azlyshah Romli, 34; Aziz Othman, 57; Muhamad Asrun Amir Hussain, 24; Muhammad Luqman Hakim Zainal, 19; Nur Arif Norzaidi, 20; Muhamad Amir Daud, 23; Norhasrul Izwan Noraini, 34; dan Joni Yakub, 38.

Zamzuri Aziz, 23; Shamsol Long, 46; Muhammad Khairul Azhar Ghazali, 22; Mohd Rozaidi Sabu, 27; Jamal Muhamad Syafian Jamaludin, 25; Mazlan Ahmad, 49; Akmal Firdaus Ahmad, 23; Mohd Shafiz Ibrahim, 30; Mohd Mizan Ismail, 40; dan Mohd Azhar Muei, 21.

Kesemua mereka dituduh secara berperingkat atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Pak Su di daerah Kubang Pasu sejak tiga tahun lalu di Mahkamah Sesyen di sini sejak 26 September, lalu diikuti pada 9 Oktober lalu dan 2 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun.

Menurut laporan, semua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin kerana kes disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sesi pengurusan kes tersebut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd Noor, manakala beberapa tertuduh diwakili peguam, antaranya G Ravi Shankar dan Adi Zulkarnain Zulkafli.

Sementara itu, tinjauan mendapati seramai 15 anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) lengkap bersenjata mengawal semua tertuduh dan sekitar ruang legar Mahkamah Sesyen 1.- Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com