Pengurus Skuad Lang Merah Bakal Diumum 24 Januari Ini


ALOR SETAR - Persoalan mengenai siapakah pengurus baru pasukan Kedah bakal terjawab apabila Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dijangka mengumumkan nama calonnya pada majlis memperkenalkan pasukan dan perasmian jersi skuad Lang Merah, 24 Januari ini.

Menurut Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminudin Omar menjadi antara tiga calon popular yang hangat diperkatakan penyokong. 

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM 2017-2021 dilihat memiliki pengalaman dan kredibiliti apatah lagi beliau turut memegang jawatan Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan negeri Kedah.

Memetik BH Online, Aminuddin pernah dilantik sebagai Bendahari KFA pada 2013 dan bukan perkara luar biasa jika beliau dilantik kerana jawatan pengurus pasukan pernah di pegang Exco Belia dan Sukan Kedah sebelum ini.

Selain Aminudin, penolong pengurus skuad Helang Merah dan juga bekas pengurus Skuad Belia Kedah, Haris Che Mat juga dilihat sebagai calon bersesuaian untuk menggalas tugas sebagai pengurus kerana pengalamannya memberi kelebihan.

Terdahulu, Haris pernah bergelar pengurus pasukan Belia Bawah 19 Kedah dan berjaya mencatat sejarah apabila muncul juara Piala Belia untuk pertama kali tahun lalu.

Malah, segala urusan berkaitan pengurusan pemain pasukan utama kini sedang digalas Haris yang dilantik pada 21 Disember lalu dan satu lagi nama yang disebut-sebut adalah bekas pemain Kedah, Khamal Idris Ali yang pernah bersama pasukan itu merangkul gelaran naib Juara Piala Malaysia 1989 dan juara Piala Malaysia 1990.

Khamal juga bekas pemain kebangsaan 1992 dan kini dilantik memegang jawatan sebagai Presiden Bekas Pemain Bolasepak Kedah (KEFA) bagi penggal 2018-2020.

Jawatan pengurus Kedah kosong selepas Datuk Jefferey Low Han Chow melepaskan kerusi yang disandangnya sejak 2012 kerana mahu menumpukan perhatian kepada perniagaannya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com