Pengetahuan CPR Dalam Masyarakat Masih Rendah


PUTRAJAYA - Pengetahuan asas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) masih rendah, iaitu hanya seorang daripada 100 penduduk di kawasan pedalaman mempunyai kemahiran berkenaan.

Hasil tinjauan bengkel CPR anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendapati hanya seorang daripada 10 orang di bandar mengetahui teknik CPR yang betul.

Setiausaha Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (SCHOMOS) MMA, Dr Vijay Ganasan, berkata kurang pendedahan kemahiran CPR secara tidak langsung boleh menyebabkan kematian kepada mangsa yang terkena serangan jantung, tercekik atau lemas.

"Kemahiran CPR perlu dipelajari semua individu kerana ia mampu menyelamatkan nyawa seseorang sementara menunggu bantuan perubatan profesional," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Larian Kesihatan Amal MMA-SCHOMOS 2018 di Taman Wetland, Putrajaya di sini, semalam.

Yang turut hadir, Presiden Kids Athletics, Raja Yong Sofia Sultan Azlan Shah; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min; Presiden MMA, Dr Ravindran R Naidu dan Naib Presiden Universiti UCSI, Prof Datuk Dr Khalid Yusoff.

Dr Vijay berkata, penganjuran larian amal seperti ini dapat memberi pendedahan kepada orang ramai mempelajari teknik CPR yang betul secara percuma.

Terdahulu, lebih 1,700 peserta menyertai Larian Kesihatan Amal MMA-SCHOMOS 2018 bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan doktor dan orang awam mengenai penjagaan kesihatan.

Tiga organisasi, iaitu Majlis Paralimpik Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia dan Kids Athletics menerima RM5,000 untuk melaksanakan pelbagai program berkenaan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com