Pengendali Le Tour de Langkawi Hadapi Dilema


PUTRAJAYA - Kontraktor pengendali Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 kini berada dalam dilema kerana perlumbaan yang dirancang dilangsungkan pada Mac ini berkemungkinan terpaksa ditunda sekiranya bertindih dengan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ciclista Sports Sdn Bhd, M. Kumaresan berkata penundaan perlumbaan jelajah berbasikal terbesar di Asia terpaksa dilakukan kerana rakan strategik utama mereka iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengutamakan PRU.

Bekas pelumba Olimpik negara pada 1988 dan 1992 itu berkata, keputusan sama ada untuk me­nunda atau meneruskan perlumbaan disi ke-23 itu pada tarikh yang telah dirancang turut akan mengambil kira kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan bila tarikh pembubaran Parlimen dilakukan.

Kesemua faktor itu, katanya, adalah untuk memastikan kelancaran dan keselamatan perlumbaan.

“Paling utama adalah bantuan daripada PDRM kerana mereka telah memberitahu kami jika PRU Ke-14 jatuh pada tarikh yang sama, mereka akan menarik diri daripada membantu LTdL 2018 terutama dari segi keselamatan dan lalu lintas.

“Kata PDRM, mereka perlu mengutamakan PRU Ke-14 berbanding LTdL. Ini cabaran paling besar yang terpaksa kami hadapi sebagai pengendali perlumbaan kali ini. Tetapi jika KBS kata te­ruskan juga, kami kena cari alternatif lain untuk meneruskan perlumbaan.

“Tapi saya harap PRU Ke-14 dapat diumumkan lebih awal daripada tarikh perlumbaan LTdL 2018 supaya kami dapat melakukan persiapan sewajarnya. Kalau diumumkan sudah dekat dengan tarikh tersebut dan pasukan-pa­sukan yang bertanding pula sudah datang ke sini, kami tiada pilihan selain terpaksa teruskan juga,” katanya selepas majlis pelancaran imej dan pengumuman laluan LTdL 2018 di sini, pada Jumaat.

LTdL kali ini, yang kembali mempertandingkan sepuluh peringkat perlumbaan berbanding lapan sejak 2015, dijadualkan berlangsung 16-25 Mac.

Perlumbaan kali ini dijangka akan disertai 22 pasukan tempatan, profesional benua dan Pro Tour di samping kekal dengan status Hors Class.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin ketika mengulas isu sama berkaitan PRU berkata, mengikut andaiannya tarikh itu masih ‘selamat’ kerana persidangan Dewan Rak­yat dijangka berlangsung hingga pertengahan Mac.

“Lagipun, kalau berlakunya PRU, tidak mengganggu penganjuran perlumbaan ini dan masih boleh diteruskan. Hanya kerana adanya PRU, (bukan bermakna) semuanya perlu terhenti... saya rasa tiada masalah kecuali dari segi agensi kerajaan (termasuk polis), tetapi kita ada rancangan luar jangka untuk itu,” katanya yang turut mengesahkan penganjuran kali ini menggunakan geran sebanyak RM12 juta daripada kementeriannya berbanding hanya RM5.5 juta tahun lalu.

Khairy berkata Pulau Langkawi kembali ke dalam peta LTdL sebagai destinasi pengenalan pasukan pada 14 Mac tetapi atas faktor kos dan logistik yang rumit, perlumbaan tidak dapat diadakan di pulau pelancongan itu.

Setakat ini dua pasukan Pro Dunia, iaitu Astana Pro Team dan Bahrain Merida Pro Cycling Team serta enam pasukan profesional benua telah mengesahkan penyertaan untuk edisi kali ini yang meliputi jarak keseluruhan 1,537.2km.

Edisi kali ini menyaksikan peringkat pertama perlumbaan dari Kangar ke Kuala Ketil sejauh 117km dan berakhir dengan peringkat ke-10 dari Senawang ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur (134.4km).

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com