Pengedar Antara 33 Ditahan AADK Kedah


PENDANG - Seorang buruh yang disyaki berperanan sebagai pengedar dadah daerah ini, ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kubang Pisang, di sini.

Lelaki berusia 41 tahun itu antara 33 penagih dadah yang dicekup Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam serbuan di tiga kawasan sekitar daerah ini, termasuk ladang kelapa sawit yang menjadi tumpuan penagih.

Pengarah AADK Kedah, Mahadzir Elias, berkata operasi bermula jam 2 petang dan berakhir 10 malam tadi itu membabitkan 20 anggota AADK dengan serbuan dilakukan di Kampung Kubang Pisang dan Kampung Kekau, selain ladang kelapa sawit di Kampung Paya Nedam.

Katanya, risikan mendapati Kampung Paya Nedam menjadi tumpuan penagih dan serbuan agak sukar berikutan banyak laluan tikus, selain hujan lebat sepanjang hari.

"Dalam operasi diketuai Ketua Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Daerah Pendang, Mohd Hafiz Mansor, kita berjaya menahan penagih yang rata-ratanya bekerja sebagai penoreh getah, pesawah dan ada juga penganggur.

"Semua 33 yang ditahan dalam serbuan di tiga tempat itu berusia antara 18 hingga 35 tahun dan hasil ujian saringan air kencing mengesahkan mereka positif dadah jenis opiat dan methmphetamine," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mahadzir berkata, 32 daripada penagih yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983, manakala pengedar yang ditahan dengan 0.47 gram methamphetamine dan 84 gram opiat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"AADK berusaha memastikan mereka yang terbabit dengan dadah dibantu dan ditempatkan dalam program pemulihan.

"AADK juga memohon kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat supaya tidak wujud kawasan penagihan, kerana ini pastinya mengundang penagih penagih luar kawasan. Secara tidak langsung, ini akan mencetus risiko jenayah lain seperti kecurian," katanya.


Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com