Penduduk Yaman Kagum Keprihatinan Rakyat Malaysia


KUALA LUMPUR - Seramai 43,000 penduduk Shabwah, Yaman mendapat manfaat dua projek pam air solar hasil derma rakyat negara ini menerusi Malaysian Relief Agency (MRA).

Ketua Pengarah Charitable Society of Social Welfare (CSSW) Yaman, Dr Abdullwas'a Al-Wasa'i berkata projek di Al-Golah dijangka mula beroperasi minggu depan yang memanfaatkan 11,700 penduduk.

Katanya, satu lagi projek pam air berkenaan akan dibina di Al Soqu Al Qadem yang akan memberi faedah kepada 32,000 penduduk dengan pembinaan dijangka bermula bulan depan.

Beliau berkata, bekalan air bersih itu bukan saja disalurkan ke rumah penduduk tetapi meliputi masjid, sekolah, madrasah dan pusat kegiatan masyarakat di sekitar kawasan berkenaan.

"Penduduk Yaman yang terjejas teruk akibat perang kagum dengan keprihatinan rakyat Malaysia menyalurkan bantuan secara berterusan. Malaysia dekat di hati rakyat Yaman," katanya ketika ditemui di di Pejabat MRA di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman dan Koordinator Operasi Antarabangsanya, Mohd Fadhil Baharudin yang pernah ditugaskan MRA selama enam bulan di Yaman, tahun lalu.

MRA dan CSSW adalah dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menjalankan program bantuan kemanusiaan khususnya di Yaman.

Perang di Yaman mengorbankan atau mencederakan lebih 5,000 kanak-kanak dan menyebabkan 400,000 lagi kekurangan zat makanan serius, kata agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), baru-baru ini.

Dalam laporan yang didedahkan di Sanaa, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), berkata hampir dua juta kanak-kanak Yaman keciciran sekolah, sejak konflik memuncak apabila tentera antarabangsa diketuai Arab Saudi campur tangan pada Mac 2015.

Dalam pada itu, Dr Mohd Daud berkata, MRA membelanjakan RM500,000 untuk projek pembinaan kedua-dua projek pam air solar itu hasil sumbangan berterusan rakyat Malaysia.

Katanya, setiap projek memerlukan peruntukan RM250,000 serta mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan dan beroperasi lapan jam sehari untuk memenuhkan semua tangki.

"Projek ini sudah lama dirancang, namun terpaksa ditangguhkan kerana perang di Yaman. Kami percaya projek pam air ini akan mengatasi masalah bekalan air bersih di kawasan terbabit," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fadhil yang juga Pegawai Eksekutif Dana MRA berharap penduduk negara ini terus menderma bagi meneruskan usaha menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk negara dilanda konflik perang itu.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun CIMB Islamic atas nama Malaysian Relief Agency Foundation (nombor akaun 86000 59478) atau Maybank Islamic Berhad (nombor akaun 5640 9820 6365).

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi pejabat MRA di talian 603-9174 4672 atau 6018-2619880 (Siti Zaharah Chik).

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com