Penduduk Sik Syukur Dah Dapat Air Bersih


ISU air tandak yang tercemar kesan pembalakan di Bukit Enggang selesai apabila tandak atau kolam takungan baharu yang dibina di Bukit Padang, Sik, siap dibina lima minggu lalu.

Tandak baharu yang dibina hasil peruntukkan Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) terletak kira-kira enam kilometer dari Bukit Enggang dan memberi manfaat kepada lebih 400 penduduk di Kampung Paya Terendam.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Paya Terendam, Abdul Karim Ahmad,62, bekalan air tandak baharu itu dapat dinikmati dengan lebih baik berbanding air tandak yang pernah digunakan sejak 1980-an.

"Sebelum ini kami akui tiga tandak air yang dibina di Bukit Enggang tidak mendapat kelulusan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), apabila berlaku pembalakan ia menjejaskan bekalan air kepada penduduk.

"Namun, saya mewakili penduduk kesal kerana ada pihak lain yang cuba mewakili kami sebagai penduduk kampung sedangkan kami cuba selesaikan isu ini menerusi saluran yang betul dengan mengadakan perbincangan dengan wakil rakyat dan pembalak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan tapak pembalakan di Bukit Enggang di sini.

Abdul Karim berkata, penduduk kampung turut mengadakan gotong-royong bagi membina tandak baharu itu dan ia dapat disalurkan kepada 90 rumah di kampung itu.

Bagi penduduk, Abdul Halim Ghani, 43, amat mengharapkan pihak yang berkepentingan tidak akan menggunakan nama penduduk kampung untuk memanipulasi isu bekalan air tercemar di kampung itu.

"Hanya penduduk kampung ini yang terjejas akibat pencemaran di tiga tandak air di Bukit Enggang, tandak air di Kampung Balong Ayam masih berada dalam keadaan baik.

"Lebih baik dapatkan maklum balas daripada orang kampung terlebih dahulu sebelum membuat spekulasi mengenai isu ini," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Nordin Khamis, 48, berterima kasih kepada MBI kerana menyediakan bekalan air tandak baharu yang lebih laju dan bersih.

Katanya, sebagai penduduk kampung, bekalan air itu sangat penting kerana ia dapat mengurangkan penggunaan air yang dibekalkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) seterusnya menjimatkan bil air.

Terdahulu, tinjauan bersama pegawai MBI dan JPNK dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di kawasan pengumpulan balak Bukit Enggang mendapati kerja pembalakan itu sudah dihentikan.

Difahamkan ia dihentikan sejak dua bulan lalu selepas mendapat arahan kerajaan negeri.

Sebelum ini, media melaporkan penerokaan lebih 500 hektar tanah di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik sejak pertengahan tahun lalu menyebabkan sumber air di tiga kampung berdekatan tercemar dengan sisa lumpur.

Kampung terbabit ialah Kampung Balong Ayam, Kampung Durian Burung dan Kampung Paya Terendam.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com