Pendapatan Orang Melayu Malaysia Masih Rendah


KUALA LUMPUR - Pendapatan dan kekayaan orang Melayu di negara ini masih berada di tahap rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak boleh digunakan bagi menunjukkan pendapatan isi rumah.

“Benar KDNK kita meningkat dan berdasarkan kajian kami, sedikit sahaja KDNK ini masuk ke poket kita iaitu kira-kira 38 peratus sahaja, selebihnya masuk ke poket pihak-lain,” katanya pada Konvensyen Kebangkitan Ummah, semalam.

Menurutnya, majoriti pendapatan orang Melayu adalah makan gaji dan jumlah diterima adalah rendah.

“Ini menggambarkan kita beri keuntungan kepada mereka yang berada di atas. Kajian menunjukkan 60 peratus pendapatan orang Melayu adalah makan gaji.

“Hakikat yang perlu kita tahu adalah, 96 peratus orang Melayu bergaji bawah RM6,000. Kebanyakan kita dapat gaji dan duit itu digunakan untuk bayar hutang,” katanya.

Ahmad Yazid berkata, kenyataan mendakwa cara berbelanja orang Melayu menjadi punca mereka gagal menjana kekayaan adalah tidak benar.

“Kajian yang turut dilakukan juga mendapati, tidak ada kaitan dengan sikap orang kita berbelanja menyebabkan kita gagal mengumpul kekayaan," katanya.

Sumber – Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com