Penaja Pasukan Bola Sepak Dibebaskan Jaminan SPRM


SEREMBAN – Seorang penaja pasukan bola sepak sebuah pasukan tempatan di Negeri Sembilan dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, semalam.

SPRM Negeri Sembilan dalam kenyataan berkata suspek yang berusia 47 tahun itu ditangkap semasa hadir ke pejabat agensi itu di sini pada pukul 2.30 petang tadi bagi memberi keterangan berhubung kes rasuah pada November tahun lepas.

Suspek disyaki memberi rasuah kepada 18 orang pemain pasukan lawan sebanyak RM80 dan RM100 kepada tujuh pegawai pasukan lawan sebagai balasan memastikan kemenangan pasukan tajaannya dalam Kejohanan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) zon selatan, 25 Nov lepas.

Menurut kenyataan itu, suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, kerana sakit.

Sebelum ini, seorang ketua jurulatih dan seorang pengurus pasukan bola sepak sebuah pasukan tempatan di Negeri Sembilan direman lima hari oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes yang sama.

Kedua-dua mereka direman masing-masing mulai 6 dan 7 Jan lepas. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com