Pemungut Sampah Turki Bina Perpustakaan Buku Terbuang


ANKARA - Ramai yang mungkin tidak ingin mengambil tahu nasib buku yang dibuang ke dalam tong sampah apabila pembacanya ingin mengemas kini raknya.

Bagaimanapun di ibu kota Turki ini, buku yang dibuang tidak semestinya akan berakhir menjadi kertas kitar semula.

Sebaliknya, buku berkenaan mendapat nafas baharu hasil daripada perpustakaan bukan konvensional.

Sekumpulan pemungut sampah perbandaran mewujudkan perpustakaan yang dibanjiri dengan ribuan hasil karya yang mungkin berakhir di tapak pelupusan sampah.

Keadaan buku yang ditinggalkan di kaki lima oleh penduduk bersama-sama dengan sampah lain, memberikan idea kepada kumpulan berkenaan untuk mengitarnya semula dengan memberikannya kepada pembaca baharu.

Dibuka lebih daripada tujuh bulan lalu oleh pemungut sampah dan pengurusnya, perpustakaan itu ditempatkan di kilang yang tidak lagi beroperasi yang selama ini menjadi tempat pekerja berkenaan berkumpul.

Kilang yang sudah ditinggalkan sejak 20 tahun lalu, kini menjadi ruang yang meriah untuk kakitangan menghabiskan masa rehat mereka dengan membaca buku yang koleksinya mencecah sehingga 4,750 buku.

Asalnya, kewujudan ruang itu hanya bertujuan untuk memberi peluang kepada pekerja dan keluarga mereka untuk meminjam buku sehingga 15 hari tetapi kini ia juga dibuka kepada umum, kata pengurus tapak kerja, Emirali Urtekin.

Beliau berkata, masih ada 1,500 buku lagi yang belum diletakkan di rak dengan semakin banyak buku diselamatkan dan didermakan.

Tiada sebuah buku pun yang akan dilupuskan dengan buku yang tidak lagi dapat digunakan berfungsi sebagai rak buku.

Bangunan yang sudah diubah suai - dengan paip tembaga digunakan sebagai lampu - juga menyediakan kedai gunting, kafeteria, tempat bersosial dan pejabat untuk kakitangan pengurusan.

Buku juga disusun kepada 17 kategori merangkumi novel roman, buku teks ekonomi, cerita ngeri dan sastera kanak-kanak.

Perpustakaan itu menawarkan pelbagai karya yang ditulis pengarang ternama luar negara dan Turki termasuk JK Rowling, Charles Dickens, JRR Tolkien dan Orhan Pamuk serta Fifty Shades of Grey oleh EL James.

Ia beroperasi 24 jam sehari untuk pekerja dan memiliki pustakawan sendiri yang dibayar oleh majlis perbandaran, iaitu Eray Yilmaz, 20.

Eray berkata, sehingga kini sebanyak 147 buku dipinjam oleh ahlinya yang mungkin terus bertambah termasuk 700 pemungut sampah dari daerah Cankaya.

Menurut majlis perbandaran, perkhidmatan baharu itu menjadi satu-satunya perpustakaan daerah yang unik dibuka kepada umum.

"Membaca buku membina keintelektualan seseorang, menggalakkan idea baharu dan di sini, kami memperkenalkan idea baharu daripada buku kepada masyarakat.

"Usaha ini boleh menyebabkan manusia lebih bahagia. Saya membawa pulang buku ini juga kepada ibu saya," katanya.

Sementara itu, Malik Ercan, iaitu antara kakitangan dari kalangan orang kurang upaya (OKU) berkata, beliau membawa pulang buku untuk isteri dan anaknya, manakala perpustakaan itu semakin menarik orang ramai.

"Baru-baru ini, saya membawa sepupu saya ke sini yang datang dari Sivas (wilayah Turki tengah). Mereka mendengar berita ini dan mahu melihatnya sendiri.

"Lebih ramai rakan-rakan saya menelefon dan melahirkan hasrat untuk datang berkunjung selepas membaca beritanya," kata Ercan.

Perpustakaan itu menerima perhatian masyarakat tempatan dan antarabangsa, sekali gus mendorong lebih banyak buku sampai yang tidak hanya terhad daripada sumber asalnya, iaitu tong sampah.

Orang ramai dari kota lain di Turki sanggup membayar kos pos untuk menghantar buku ke perpustakaan, kata Urtekin, manakala pengutip sampah terus mengumpulkan buku yang dibuang.

"Kami bukan hanya mendapat banyak lawatan daripada orang ramai, bahkan derma. Mereka berkata: 'Ini projek yang bagus dan kami ingin menyokongnya.'

"Kami memberikan nafas baharu kepada buku yang dibuang ini dan kini ia boleh didapati dengan percuma," katanya.

Walaupun tidak ada rancangan untuk memperluaskan ruang sedia ada, perpustakaan itu terus mencetuskan projek lanjutan kepada buku yang dibuang.

Pengurusnya memberitahu AFP, mereka akan mewujudkan perpustakaan bergerak dan mengunjungi sebahagian sekolah di Ankara setiap 15 hari supaya dapat dinikmati oleh lebih ramai kanak-kanak.

Ia akan membantu sekolah yang tidak mempunyai perpustakaan atau memiliki koleksi buku terhad.

Pelajar turut mendapat manfaat ketika berkunjung daripada persembahan muzik oleh Tin Group yang dianggotai 11 pekerja yang menggunakan bekas sampah dan objek logam. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com