Pemuda MyPPP Sedia 290 Tandas Bergerak Percuma Sempena Thaipusam


KUALA LUMPUR - Pergerakan Pemuda MyPPP menyediakan 290 buah tandas bergerak percuma untuk kemudahan awam khususnya penganut agama Hindu yang meraikan perayaan Thaipusam, Rabu ini.

Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas berkata perkhidmatan sanitasi tersebut disediakan di beberapa lokasi terpilih di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Pahang dan Johor mulai malam tadi sehingga 1 Feb.

“Ini merupakan kali ketiga perkhidmatan ini disediakan. Kita mahu utamakan penjagaan kesihatan dan kebersihatan terutamanya kepada warga emas, kaum wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya,” katanya selepas melancarkan program Perkhidmatan Sanitasi Percuma sempena Thaipusam 2018 di sini malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden MyPPP Datuk Loga Bala Mohan yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Ketua Pemuda MyPPP Sathiah Sudhakaran.

Daripada jumlah itu, 50 buah tandas bergerak akan ditempatkan di ibu kota iaitu di setiap satu kilometer perjalanan bermula dari Kuil Maha Mariamman, Jalan Tun H S Lee.

Di Selangor, 100 tandas bergerak disediakan bermula dari Kuil Subramaniyar Swami di Batu Caves, selain 20 buah lagi di Kuala Selangor.

Selain itu, 50 tandas bergerak ditempatkan di Ipoh, Perak manakala Pulau Pinang (30), Cameron Highlands, Pahang (10) dan Tampoi, Johor (30).- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com