Pemimpin DAP Gembira Mahathir Cadang Tempoh PM Dua Penggal, KM P. Pinang Bagaimana?


Pemimpin DAP bersorak gembira apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan supaya jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada hanya dua penggal sahaja.

Tetapi mereka seolah-olah terlupa bahawa Dr. Mahathir pernah memegang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun.

Namun Setiausaha Agung Lim Guan Eng tidak genbira apabila ada Ahli Dewan Undangan DAP Negeri Pulau Pinang usulkan tempoh jawatan ketua menteri yang disandangnya dihadkan dua penggal.

“DAP menganaktirikan wakil rakyat sendiri, Teh Yee Cheu kerana meminta jawatan Ketua Menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja, " kata bekas ahli seumur hidup DAP, Shamsher Singh Thind.

Bekas ahli Taman Chai Leng, Perai yang kontroversi bagi DAP itu juga mendakwa pemimpin Pakatan Harapan kini bukan sahaja sanggup menjilat alir liur tetapi juga  muntah, kencing dan najis demi kesinambungan kerjaya politik mereka.

Kenyataan pedas bekas anggota DAP itu merujuk kepada tindakan  pemimpin DAP dan PKR yang disifatkan beliau sebagai tidak mempunyai pendirian tetap dalam berpolitik apabila menamakan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, jika pakatan menang PRU14 kelak. 

Beliau menempelak pemimpin DAP yang bersorak ketika Dr. Mahathir mencadangkan supaya jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada hanya dua penggal .

“ Inilah sifat munafik DAP,” katanya sambil mendakwa pemilihan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara menyerlahkan sikap  sebenar perjuangan pembangkang semata-mata untuk berkuasa, bukannya demi rakyat.

Katanya pemilihan Dr. Mahathir juga melenyapkan segala perjuangan pembangkang sebelum ini de­ngan menukarkan kepada isu-isu yang membelenggu sepanjang 22 tahun pemerintahan bekas Perdana Menteri berkenaan.

Mereka seolah sudah melupakan isu se­perti skandal mata wang asing, projek kad pengenalan, serangan ke atas sistem kehakiman dan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang ditentang habis-habisan pembangkang sebelum ini, katanya yang dipetik daripada Utusan semalam.

Katanya, seperti juga isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) juga sudah dilupakan selepas bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini menyertai pembangkang.

Beliau yakin jika Datuk Seri Najib Tun Razak turun, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga akan dilupakan malah pembangkang akan memuji beliau kerana memperkenalkan 1MDB jika Najib menyertai pembangkang.

Sebelum ini beberapa pemimpin DAP bertindak meninggalkan parti itu kerana bekerjasama dengan  Dr. Mahathir yang menjadi musuh utama politik sebelum ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com