Pemandu Teksi Kulim Gembira Dapat Projek Stesen Baharu


ALOR SETAR - Lebih 80 pemandu serta pengusaha teksi dan bas ekspres di stesen bas Kulim jelas terpancar kegembiraan tatkala projek pembinaan terminal bas baharu bernilai RM2.5 juta akan bermula.

Ekoran itu, mereja bersedia untuk dipindahkan ke kawasan sementara bagi memberi laluan kepada projek terbabit.

Pengerusi Persatuan Tuan-Tuan Ampunya Kereta Sewa Bandar Kulim, Ahmad Husni Hussin berkata, sebagai memudahkan kerja-kerja pembikinan, mereka akan segera berpindah ke tapak sementara sebaik saja kerja penurapan jalan yang dijangka siap pada Februari nanti.

"Kami menyambut baik projek ini dan tiada masalah untuk berpindah ke tapak sementara memandangkan jaraknya tidak sampai 500 meter dari tempat asal.

"Apa yang penting, penantian selama lebih 20 tahun untuk mendapatkan stesen bas dan teksi baharu tercapai," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis taklimat ringkas berkenaan projek pembinaan stesen bas baharu Kulim di sini,kelmarin.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Kulim, Chua Thiong Gee berharap proses pemindahan pengusaha bas, teksi serta gerai makanan di stesen itu berjalan lancar.

Dalam pada itu, bagi merungkai sebarang masalah yang timbul memandangkan kerja pembinaan akan dilakukan secara berperingkat, pihaknya akan mengadakan pertemuan dari semasa ke semasa.

"Bagi perjumpaan hari ini, kita mendapat maklum balas yang baik dari semua pihak di mana mereka bersedia untuk pindah ke kawasan sementara," katanya.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), Ir Muhamad Tarmymy Che Ani berkata kerja pemindahan dijangka dimulakan pada awal Mac.

"Bagi teksi, kita pindahkan operasi mereka ke satu kawasan lapang yang terletak tidak sampai 500 meter dari tempat asal manakala bas dipindah ke bahagian parkir awam yang bertentangan medan selera.

"Bagi penumpang pula, deretan kedai sedia ada akan dijadikan tempat menunggu selepas peniaga di situ dipindahkan ke sebelah pejabat Jabatan Penerangan," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com