Pemandu Teksi Gagal Seludup 101 Murai Batu Di Bukit Kayu Hitam


ALOR SETAR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menggagalkan cubaan seorang pemandu teksi membawa masuk 101 ekor burung murai batu secara haram ke negara ini, melalui pintu sempadan negara di Bukit Kayu Hitam, dekat sini.

Menurut Pengarahnya, Muhammad Ali Che Man, berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan selepas kotak berisi semua burung yang dikategorikan haiwan liar dilindungi itu, ditemui di dalam teksi dipandunya ketika dalam perjalanan memasuki negara ini kira-kira jam 12.50 tengah hari semalam dari Thailand.

"Lelaki itu cuba menyembunyikan beberapa kotak berisi 101 murai batu berkenaan di tiga lokasi berasingan di dalam teksi terbabit, iaitu di atas tempat duduk belakang kenderaan yang ditutup dengan alas kaki, selain di bahagian kaki tempat duduk penumpang depan dan belakang.

"Helahnya itu bagaimanapun gagal mengelirukan pihak berkuasa apabila pemeriksaan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menemui kotak mencurigakan itu, yang kemudian disahkan mengandungi burung murai batu," katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.


Jelas Muhammad, pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen import atau eksport yang sah daripada PERHILITAN untuk membawa masuk semua murai batu tersebut.

"Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 60(2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] kerana kesalahan pemilikan burung murai batu iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama [Akta 716].

"Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya memetik BH Online.

Tambahnya, semua burung murai batu yang dirampas dalam kes ini akan dilepaskan semula ke habitat asal selepas mendapat perintah pelupusan daripada mahkamah. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com