Pemain Tempatan Tolak Tawaran Liga Thailand Kerana Gaji Sikit


KUALA LUMPUR – Tawaran kurang lumayan berbanding pendapatan yang diperoleh dalam Liga Malaysia (Liga M) menjadi antara faktor pemain tempatan terpaksa menolak tawaran untuk beraksi di liga Thailand.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Bakat Sukan MVP Sports Agency, Hafizan Halim sambil menjelaskan gaji yang ditawarkan oleh kelab Thailand kepada beberapa pemain Malaysia antara USD3,000 (RM12,000) hingga USD5,000 (RM20,000) sebulan, lapor BH

Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan pengurangan antara 40 hingga 50 peratus daripada gaji yang diperoleh pemain tempatan daripada kelab di Liga M.

“Memang ada beberapa kelab dari Thailand berminat dengan pemain Malaysia terutama yang bermain pada Sukan SEA lalu, cuma daripada segi tawarannya tak berapa sesuai dengan apa yang diminta.

“Ini bukan soal memilih atau tidak, tapi masalahnya tawaran gaji yang pemain itu dapat daripada pasukan dalam liga kita lebih tinggi.

“Jadi, saya menafikan dakwaan yang pemain kita tiada kualiti atau sengaja tak nak keluar beraksi di liga luar, mereka tak nak keluar sebab faktor macam ini.

“Mungkin ramai orang tak faham. Contoh terbaik adalah jika kita ditawarkan bekerja di luar negara tapi pada masa sama kita mendapat pendapatan lebih baik di Malaysia, sudah pasti kita akan pilih untuk bekerja di negara sendiri,” katanya, hari ini.

Sebelum ini, enam pemain muda negara – Adam Nor Azlin, Adib Zainudin, Syamer Kutty Abba, Nor Azam Azih, Jafri Firdaus Chew dan N Thanabalan – dilaporkan menjadi buruan beberapa kelab liga Thailand selepas mempamerkan aksi cemerlang pada temasya Sukan SEA, Ogos lalu.

Namun, difahamkan hanya Adam, Syamer dan Jafri saja mendapat tawaran daripada kelab negara jiran itu tetapi sehingga kini tiada khabar berita mengenainya.

Malah, Adam dan Syamer sudah sah menyertai pasukan baharu mereka yang juga juara Liga Super empat kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selain itu, Hafizan turut mengakui Liga M menjadi antara liga di rantau Asia Tenggara yang menawarkan gaji tertinggi buat pemain.

“Walaupun Liga M menawarkan gaji tinggi, tapi saya tidak menolak kemungkinan pemain tempatan akan berhijrah sekiranya mendapat tawaran lebih baik di liga luar,” katanya.

Sumber: Suara TV

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com