Pelarian Rohingya Di Bangladesh Berisiko Ditimpa Bencana


GENEVA - Lebih 100,000 pelarian Rohingya yang menetap dalam khemah kotor dan berlumpur di Bangladesh berisiko tinggi menjadi mangsa tanah runtuh apabila musim monsun pertengahan tahun bermula, menurut laporan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kini ada lebih 900,000 pelarian Rohingya di wilayah Cox's Bazar di Bangladesh, selepas 688,000 melarikan diri daripada kekejaman tentera Myanmar yang memuncak lewat Ogos lalu.

Pekerja bantuan berkata, kem untuk melindungi ramai pendatang baharu sudah tidak mencukupi.

"Pemetaan risiko tanah runtuh dan banjir mendedahkan sekurang-kurangnya 100,000 berada dalam bahaya besar dan perlu ditempatkan semula ke kawasan baharu atau di kawasan kejiranan sekarang.

"Kekurangan ruang kekal menjadi cabaran utama bagi sektor ini kerana lokasi amat sesak yang membawa kepada kesukaran kehidupan dengan tiada ruang untuk perkhidmatan dan kemudahan," menurut laporan.

Ia menambah, kesesakan juga menyebabkan peningkatan risiko perlindungan dan penularan penyakit seperti difteria yang kini memuncak di kebanyakan lokasi penempatan.

Walaupun program vaksin dapat mengurangkan risiko taun, 4,865 disahkan, kemungkinan atau disyaki menghidap difteria dan 35 sudah meninggal dunia. - Reuters

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com