Pelajar Terbabit Jenayah Berat Perlu Sedia Berdepan Kesukaran Dapat Kerja


KUALA TERENGGANU – Pelajar yang direman dan dimasukkan ke dalam lokap kerana terbabit kesalahan jenayah berat perlu bersedia berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan pada masa depan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata tindakan itu yang bermula Mac tahun lalu bertujuan membanteras kes jenayah secara total membabitkan pelajar di sekolah yang semakin meningkat.

“Sebelum ini, pelajar yang terbabit dengan jenayah seperti buli hanya akan ditahan dan diambil keterangan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.

“Namun, akibat masalah buli yang berlaku setiap hari di seluruh negara, kita mengambil tindakan tegas ini supaya ia dapat dicegah secara keseluruhannya,” katanya selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengawas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah, di sini, semalam.

Katanya, antara jenayah yang semakin membimbangkan membabitkan kalangan pelajar termasuklah kes buli, dadah dan menunggang motosikal tanpa lesen.

“Mereka yang ditangkap dan disabitkan kesalahan di mahkamah, rekod mereka akan dimasukkan ke dalam sistem mengikut Akta Pendaftaran Rekod Jenayah.

“Sama ada mereka pelajar, remaja mahupun orang dewasa, rekod ini akan disimpan dalam sistem rekod polis untuk tempoh 99 tahun.

“Oleh itu, ia memberi kesan yang sangat buruk kepada pelajar yang mempunyai rekod jenayah ini terutama apabila mereka keluar daripada sekolah dan ingin memohon pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, hanya sebilangan kecil sahaja pelajar terbabit dengan buli, namun ia berlaku setiap hari di sekolah seluruh negara.

“Masalah dadah dalam kalangan pelajar juga semakin mencabar kerana bahan terlarang itu kini mudah diperoleh dan digunakan kerana ia datang dalam bentuk di luar syak wasangka masyarakat sekitar.

“Malah, pil kuda menjadi bahan popular dalam kalangan pelajar masa kini dan hal ini amat membimbangkan kita.

“Oleh itu, pihak sekolah yang masih berfikiran tradisional, diminta supaya lebih bersikap terbuka dan tidak menyembunyikan kesalahan jenayah yang berlaku di sekolah masing-masing,” katanya. 

Sumber – BH

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com