Pekerja Kilang Maut Kepala Tersepit Mesin Pengisar Kertas


NIBONG TEBAL - Seorang pekerja kilang maut selepas kepalanya tersepit di dalam mesin pengisar kertas yang sedang dibaikinya dalam kejadian di sebuah kilang kertas di Simpang Ampat, di sini awal semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Shafee Abdul Samad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu, mangsa Tan Hong Seng, 52, sedang membaiki mesin pengisar kertas berkenaan bersama rakannya sebelum dia tersepit.

"Mangsa dipercayai tersepit ketika sedang membuka plet mesin pengisar yang rosak itu dan secara tiba-tiba mesin itu  berfungsi secara automatik dan menyebabkan kepala lelaki itu tersepit di situ.

"Pihak bomba dengan bantuan pekerja kilang itu mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa dan lelaki berkenaan disahkan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala," katanya di sini semalam.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.

Sementara itu, di George Town, polis sedang mengesan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun kedai serbaneka di sekitar daerah Timur Laut sejak sebulan lepas.

Jurucakap polis berkata lelaki itu dipercayai turut terlibat dalam kes samun kedai jahit dan pakaian di kawasan Sungai Nibong baru-baru ini.

"Polis menerima satu laporan daripada pemilik sebuah kedai serbaneka di Jalan Bukit Gambir, di sini memaklumkan suspek telah menyamun premis perniagaannya dalam kejadian Khamis lepas. Kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam kedai serbaneka berkenaan," katanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com