Pekerja Buruh Ladang Ternakan Di Sungai Petani Mati Ditetak


SUNGAI PETANI – Mayat seorang pekerja buruh ladang ternakan ayam ditemui mati dengan kesan tetakan pada leher dan kepala, di sebuah ladang ternakan ayam di Kampung Paya Suri dekat sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Saifi Abdul Hamid berkata, polis menerima panggilan kira-kira 10 malam, memaklumkan mengenai penemuan mayat oleh penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan berhampiran ladang terbabit untuk mencari lembunya.

“Siasatan lanjut mendapati terdapat seorang lelaki warga Myanmar, etnik Rohingya, berusia lingkungan 20-an, yang maut dengan kesan tetakan pada leher dan kepalanya.

“Turut ditemui sebilah parang yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Menurutnya, mangsa yang bekerja di ladang terbabit sejak tujuh bulan lalu, dipercayai tinggal bersendirian di ladang itu dan polis masih menyiasat motif kejadian memandangkan tiada barangan berharga milik mangsa yang didapati hilang.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com