Pekebun Kecil Wanita Risda Perlu Berani Lalui Perubahan


SUNGAI PETANI - Pekebun kecil wanita khususnya anggota Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) perlu berani melalui gelombang perubahan jika ingin mencapai kejayaan bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.

Anggota Dewan Negara yang juga anggota Pihak Berkuasa Risda, Senator Datuk Shahanim Mohamed Yusoff berkata terdapat seramai 181,113 pekebun kecil di seluruh negara dengan 35.68 peratus daripadanya merupakan pekebun kecil wanita.

"Risda telah mengambil langkah menggerakkan ahli-ahli isi rumah serta pekebun kecil wanita supaya dapat sama-sama berusaha membangunkan negara melalui aktiviti yang dijalankan oleh PWPK...saya berharap agar segala kemudahan sosial yang disediakan KKLW (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) akan dimanfaatkan  sepenuhnya.

"Saya juga mahu semua pekebun kecil wanita Risda berani melakukan gelombang perubahan.

"Budaya  komuniti yang sebahagiannya lebih cenderung menunggu serta bergantung kepada bantuan kerajaan perlu diubah dan digantikan dengan konsep keusahawanan sosial," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Pergerakan Wanita Pekebun Kecil Risda negeri di sini hari ini.

Turut  hadir, Pengarah Bahagian Pengembangan dan Pemindahan Teknologi Risda, Amran Jaafar dan Pengarah Risda Kedah, Ramlie Tumin.

Shahanim berkata, komuniti pekebun kecil wanita di luar bandar juga perlu terus diperkasa supaya dapat dibentuk dan menjadi modal insan yang berharga untuk negara ini.

"Dengan menghasilkan seramai mungkin usahawan sosial dalam komuniti, ia dipercayai akan dapat  membantu meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti tersebut sekali gus merangsang pembangunan  negara dengan pantas.

"Oleh itu, ahli-ahli PWPK diharap dapat menjadi usahawan sosial yang aktif, menggunakan kemahiran perniagaan dan pengetahuan mereka untuk mencipta perniagaan yang dapat menyempurnakan matlamat sosial sebagai tambahan kepada perdagangan yang berdaya maju," katanya.

Menurutnya, lagi pada tahun lepas, kerajaan menerusi Risda memperuntukkan RM89.8 juta bagi pelaksanaan projek melibatkan pekebun kecil wanita termasuk projek pembangunan (RM85.8 juta), kursus (RM1.7 juta), peralatan (RM1.5 juta) dan pinjaman (RM0.8 juta).

Pada majlis itu, Shahanim turut menyampaikan replika cek peruntukan Pembangunan Institusi Pekebun Kecil (PIPK) Risda Kedah 2018 berjumlah RM255,700 dan menyerahkan kelulusan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) kepada usahawan Risda daripada Pejabat Risda Daerah (PRD) Kuala Muda/Yan dan PRD Kulim/Bandar Baharu. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com