PATI Sembunyi Dalam Bendang Takut Ditahan Imigresen Kedah


ALOR SETAR - Gara-gara terkejut dan takut ditahan Jabatan Imigresen Kedah, seorang  pendatang asing tanpa izin (PATI) lari lintang-pukang dan sanggup bersembunyi di dalam kawasan sawah padi.

Pendatang asing yang menyedari kehadiran anggota imigresen itu melarikan diri ke kawasan tersebut namun malangnya taktik itu berjaya dihidu penguatkuasa dan berjaya menahannya.

Pengarahnya, Zuhair Jamaludin berkata, operasi di dua lokasi berasingan di tapak pembinaan di Alor Setar, kelmarin bermula jam 10.30 pagi melibatkan anggota Imigresen dan dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Dalam operasi itu, pihaknya berjaya memberkas dua PATI warga Indonesia dan dua PATI Bangladesh di lokasi pertama di tapak pembinaan pangsapuri.

"Lokasi kedua di tapak pembinaan taman perumahan yang tidak jauh dari lokasi pertama, seramai 17 PATI termasuk tiga wanita yang terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Thailand ditahan.

"Terdapat beberapa pekerja asing di tapak berkenaan melarikan diri ke kawasan sawah selepas menyedari kehadiran anggota Imigresen, namun ada yang ditahan," katanya.

Hasil operasi itu menyaksikan seramai 84 pekerja asing diperiksa namun hanya 21 yang ditahan.

PATI yang ditahan berusia antara 23 hingga 48 tahun disabitkan mengikut Perkara 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalahgunakan pas dan disyaki bekerja menggunakan Pas Lawatan Sosial serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen.

"PATI itu ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Alor Setar untuk siasatan sebelum diserah ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com