Pasangan Buntu Cari Dana Rawat Anak Hidap Jantung Berlubang


KEPALA BATAS - Raut wajah bayi berusia setahun tiga bulan ini bagai tiada apa yang berlaku, malah dia bergerak lincah seperti anak-anak seusia lain.

Namun, Muhammad Zafran Idham Akmal Fikri disahkan doktor berdepan masalah jantung berlubang.

Bapanya Akmal Fikri Abd Rasid, 31, berkata, dia seakan tidak menduga apabila dikhabarkan doktor akan penyakit yang dihidapi anaknya itu.

“Masa tu anak saya baru 43 hari, pernafasannya agak tidak stabil dan laju, tak macam bayi yang seusia dengannya.

“Daripada Hospital Kepala Batas, kemudian anak saya dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya, kini keadaannya masih memerlukan rawatan lanjut,” katanya.

Ketika ini katanya, dia buntu memikirkan kos rawatan anak yang dianggarkan mencecah hampir RM60,000.

“Bila dimaklumkan doktor akan jumlah kos itu, saya tak fikir panjang, segera saya cari jalan kumpul dana. Dengan dibantu rakan, saya hebahkannya di laman sosial Facebook.

“Kalau dari segi pendapatan, jujur saya katakan ia tak cukup, gaji saya sebagai pemandu peribadi hanya RM1,500 sebulan, isteri tak bekerja, simpanan yang saya ada pula tak sebanyak itu,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan sebegini, dorongan dan semangat dari isteri dan keluarga membuatkan dirinya tabah.

Tambahnya, keadaan Muhammad Zafran kini stabil namun perlukan rawatan segera.

“Pembedahan perlu dilakukan untuk menutup lubang jantungnya, memang tengok dia aktif, nampak sihat dan ceria macam kanak-kanak lain.

“Tapi, pembesarannya agak terbantut, tak sama dengan kanak-kanak seusia dengannya, tumbesarannya agak perlahan,” katanya.

Dalam pada itu, keluarga ini menerima kunjungan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Seberang Perai Utara bersama wakil Pusat Khidmat Parlimen Kepala Batas.

Pegawai Pusat Khidmat Parlimen Kepala Batas, Shaiful Anuar Sazali berkata, pihaknya akan membawa perkara ini kepada beberapa pihak yang terlibat dalam membantu adik Muhammad Zafran.

“Dalam lawatan ini, kita bersama-sama pihak JKM akan berusaha mencari langkah untuk membantu adik Muhammad Zafran.

“Dalam masa sama, pusat khidmat parlimen akan keluarkan surat sokongan dan turut memberikan sedikit sumbangan kepada keluarga ini,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Rakyat 221221158121 atas nama Akmal Fikri Abd Rasid.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com