PAS Sindir Mahathir, "Menang Dulu Baru Umum Calon PM..."


PAS yang akan meletakkan lebih 130 calon Parlimen pada Pilihan Raya Umum akan datang tidak menamakan calon Perdana Menteri kerana parti itu mahukan lihat kemenangan dahulu.

Tidak seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang  bertanding 52 kerusi Parlimen, sudah pun ghariah menamakan pemimpin mereka Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.

Dalam hal ini ramai yang melihat  PAS lebih "cerdik" daripada PPBM dan Pakatan Harapan sendiri.

Apa guna umum calon Perdana Menteri awal kalau kalah pada PRU kelak. Mana hendak 'sorok muka' dan seluruh dunia akan ketawa.

Malah Dr. Mahathir sebelum dipilih calon Perdana Menteri Pakatan Harapan pernah menyatakan kemenangan gabungan pembangkang lebih penting daripada siapa yang hendak jadi Perdana Menteri.

Pengerusi Pakatan Harapan dan Pengerusi PPBM itu menyatakan demikian  mengulas kaji selidik yang dibuat oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli yang menemui bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih popular daripada Mahathir untuk menyandang jawatan itu.

Dr. Mahathir bagaimanapun menyifatkan survey Rafizi Mei tahun lalu itu   sebagai "kaji selidik syok sendiri".  
   
Kajian Invoke Malaysia yang diketuai ahli Parlimen Pandan meletakkan Dr. Mahathir di tangga ketiga popular dengan undian 16.5 peratus. 

Kedudukan Dr. Mahathir itu berada di bawah populariti Anwar, Ketua Umum dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang masing-masing berada di tangga pertama dan kedua. 

Dr Mahathir berkata senarai calon Perdana Menteri paling popular seperti yang diumumkan Rafizi tidak membawa apa-apa makna sekiranya pembangkang tidak menang pilihan raya akan datang.

“Kalau tak menang, sesiapa pun tak boleh jadi PM. Yang utama, menang. Kalau nak jadi calon, siapa pun boleh jadi,” katanya selepas satu program ceramah politik di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

 Dr Mahathir berpendapat kajian seumpama itu lebih sesuai selepas Pakatan memenangi pilihan raya.
"Bila menang boleh buatlah. Kalau tak menang, bubuh nama, itu syok sendiri,” kata Dr. Mahathir kepada wartawan.

Dr. Mahathir kini bagaimanapun mungkin telah lupa apa yang dicakapnya itu apabila beliau dengan gembira menerima pencalonannya sebagai Perdana Menteri semasa Konvesyen Pakatan Harapan pada 7 Januari lalu. 

Walaupun bertanding lebih 130 kerusi Parlimen, PAS tidak akan mengikut jejak Pakatan Harapan yang ghairah menamakan calon Perdana Menteri lebih awal.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata parti itu mengambil pendekatan untuk memenangi pilihan raya umum terlebih dahulu sebelum mengumumkan calon perdana menteri pilihannya.

Beliau turut menempelak Dr Mahathir yang seakan-akan cuba memaksa PAS menamakan calon perdana menteri lebih awal seperti yang dilakukan pakatan pembangkang itu.

"PAS sudah kira-kira 67 tahun menjadi parti pembangkang, bukan seperti dia (Dr Mahathir) yang baharu sehari dua keluar UMNO kerana tidak mendapat apa yang dia nak. Dia jadi pembangkang bukan atas prinsip atau perjuangan tetapi atas sebab kepentingan peribadi.

"Sekarang beliau cuba paksa PAS untuk umum calon perdana menteri, menang dahulu baru kami umum calon. Ini belum apa-apa dah gaduh, umpama ikan belum beli tetapi sudah bergaduh hendak masak gulai atau tempoyak," katanya ketika berucap melancarkan Himpunan Fastaqim 2.4 parti itu di Selangor semalam.

Minggu lepas , Dr Mahathir, 93, yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia mencabar PAS menamakan calon perdana menteri mereka sebelum PRU14.

Idris turut menyindir tindakan Pakatan Harapan memilih Dr  Mahathir sebagai calon perdana menteri sedangkan sebelum ini gabungan pembangkang itu pernah menuntut supaya bekas perdana menteri itu berundur semasa menyingkirkan Anwar pada 1998.

Pencalonan Dr. Mahathir untuk menerajui kerajaan jika Pakatan Harapan menang PRU  bukan sahaja ditolak oleh PKR Selangor tetapi juga beberapa pemimpin DAP dan anggota PPBM sendiri. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com