PAS Puji Langkah Kerajaan Tangani Diskriminasi Hijab


PAS menyokong langkah kerajaan untuk menyegerakan pindaan Akta Kerja 1955 (Akta 265) bagi menangani isu diskriminasi di tempat kerja terutama larangan memakai tudung ke atas kakitangan khidmat pelanggan oleh sebahagian hotel di Malaysia.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, langkah itu konsisten dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dan mewajahkan Islam sebagai tunjang Perlembagaan Negara seperti yang terdapat dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

“Kita mempunyai Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177), tetapi kedua-duanya masih belum cukup komprehensif untuk menangani pelbagai isu-isu diskriminasi di tempat kerja.

“Selain isu diskriminasi pemakaian tudung, isu melibatkan diskriminasi golongan wanita juga antara yang perlu diberi perhatian oleh pindaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem baru-baru ini memaklumkan pindaan undang-undang bagi menangani larangan diskriminasi di tempat kerja akan disegerakan melibatkan pengenalan peruntukan baru di bawah Akta Kerja 1955.

Ia ekoran Kementerian Sumber Manusia mengesan 13 hotel di beberapa negeri mengamalkan polisi larangan bertudung semasa bekerja yang bertentangan dengan Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang melarang sebarang bentuk diskriminasi berasaskan agama dan keturunan.

Nasrudin berkata, langkah kerajaan untuk meminda akta itu juga tepat kerana Malaysia tidak mempunyai sebarang akta berhubung isu anti diskriminasi selain Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685).

Kata beliau, beberapa negara lain telah memperkenalkan akta anti diskriminasi seperti di Jepun yang memperkenalkan ‘Equal Employment Opportunity Act’ dan Austria, ‘Equality of Treatment Act’.

“Maka Malaysia juga bergerak ke arah trend yang sama bagi memastikan keharmonian di dalam kepelbagaian ini dapat dikekalkan bersama,” katanya.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com