PAS Jangan Mimpi Bentuk Kerajaan, Kelantan Pun Belum Tentu, Kata Ahli DAP

Gambar Hiasan
ALOR SETAR - PAS disindir supaya jangan bermimpi untuk membentuk kerajaan kerana parti itu mungkin akan 'berputih mata' tidak berjaya mempertahankan Kerajaan Negeri Kelantan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Pakar Perlembagaan yang juga ahli DAP, Dr Abdul Aziz Bari berkata, PAS sebelum ini hanya berjaya memperoleh kemenangan adalah kerana kekuatan bergabung dengan parti pembangkang lain, bukan disebabkan kekuatan parti itu sendiri.

"Pada PRU13, PAS memenangi kerusi di Selangor kerana ia menyertai Pakatan Rakyat. Mereka bukanlah banyak meraih sokongan dengan sendirinya.

"PAS masih bermimpi yang mereka kuat.

"Ia tidak akan berlaku," katanya, memetik laporan portal, FMT.

Dr Abdul Aziz Bari (dua dari kiri)
Malah Dr Abdul Aziz berkata, kemenangan PAS di Terengganu pada 1999 adalah disebabkan gelombang Reformasi yang dicetus bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang 'berperang' dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, Abdu Hadi dalam satu kenyataannya berkata, beliau tidak menolak kemungkinan PAS akan bergabung dengan parti lain untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU ke-14 nanti.

Memberi bayangan bahawa PAS akan bertanding lebih dari 130 kerusi yang majoritinya menentang Barisan Nasional (BN), beliau optimis partinya mampu menjadi kuasa penentu pembentukan kerajaan.

"PAS mahu bentuk kerajaan atau menyertai pembentukan kerajaan, bukan lagi sebagai pembangkang yang lemah selepas PRU," kata Abdul Hadi.

Selain itu, ahli DAPitu turut memperlekeh kemampuan PAS dan menjangka parti itu hanya akan memperoleh sebilangan kecil daripada undi bangsa Melayu di negara ini.

"Orang Melayu tidak begitu menyokong PAS, walaupun dahulu hanya ada PAS dan UMNO, paling banyak PAS dapat raih adalah 25%-30% daripada undian Melayu," katanya yang menjangka orang Melayu akan memberi undi kepada DAP, PPBM, PAN dan PKR. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com