Panglima ATM 'Hilang Kental' Lihat Anak Yatim Rohingya


COX'S BAZAR - Jiwa dan semangat ketenteraan Panglima Angkatan Tentera (PAT) lenyap sebaik menemui dua kanak-kanak yatim piatu ketika meninjau kem pelarian Rohingya di Kutupalong, Bangladesh, semalam.

Kesedihan Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohammed Noor itu, jelas kelihatan apabila dia dibawa menemui seorang kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Fatimah, yang berusia 12 tahun, memangku seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.

Mereka yang melihat situasi berkenaan pasti menyangka Fatimah sedang memangku adiknya namun selepas dimaklumkan petugas di kem pelarian itu, Fatimah sebenarnya tidak mempunyai ikatan persaudaraan dengan kanak-kanak lelaki itu.

Raja Mohamed Affandi, berkata mereka berdua bertemu selepas dikumpulkan oleh pihak tentera Bangladesh yang menempatkan pelarian Rohingya yang masuk ke negara mereka di kem berkenaan.

"Saya sangat tersentuh apabila melihat dua kanak-kanak yang sebenarnya masih tidak mengerti dengan apa yang dilalui mereka menghadapi situasi seperti ini.

"Fatimah menjaga kanak-kanak lelaki terbabit seperti adiknya sendiri selepas kedua-dua mereka adalah yatim piatu, dan dalam usia sedemikian kedua-dua mereka serta puluhan ribu kanak-kanak lain sudah erti kekejaman dan kesengsaraan," katanya selepas melawat kem berkenaan.


Raja Mohamed Affandi, berkata melihat situasi sedemikian, nilai dan kasih sayang adalah paling mahal sebenarnya dalam diri dan sanubari mangsa pelarian Rohingya terbabit.

Katanya, beliau masih tidak dapat membayangkan usaha dua 'beradik' berkenaan dalam meneruskan kehidupan yang bakal ditempuhi pada masa akan datang namun berharap bantuan dari seluruh dunia untuk meringankan beban mereka.

"Justeru untuk membantu meringankan segala kekurangan, langkah kerajaan Malaysia mewujudkan hospital medan sedikit sebanyak mengurangkan penderitaan yang dialami sebahagian besar pelarian Rohingya.

"Bagi saya, keadaan seperti ini harus dijadikan iktibar untuk kita tidak bermusuhan dan bersengketa sesama manusia kerana kesan yang lebih buruk sebenarnya akan menimpa kanak-kanak seawal usia setahun hingga 14 tahun," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com