PAN Mahu Tuntut Lebih Banyak Kerusi DUN?


Parti Amanah Negara (PAN) yang cuba 'disisihkan' oleh Pakatan Harapan dalam agihan kerusi parlimen dengan hanya diberi 27 kerusi daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung, dijangka menuntut lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi pilihanraya umum kelak. 

Di sebalik dakwaan olh PAS bahawa parti itu masih lemah dan tiada sokongan ramai, PAN mahu membuktikan calon mereka mampu menang banyak kerusi di peringkat DUN.

Bagaimanapun PAN akan menemui 'kesukaran' untuk bertanding lebih banyak kerusi di kawasan majoriti Melayu kerana kerusi-kerusi 'boleh menang' telah pun dimonopoli awal oleh PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).   

Umpamanya di Kedah, PKR telahpun menyatakan akan bertanding 16 kerusi DUN iaitu hampir separuh daripada 36 DUN di negeri itu.

Terbaharu, Ahli Parlimen PKR Sungai Petani Datuk Johari Abdul dikatakan akan mempertahankan Parlimen Sungai Petani dan turut bertanding di kerusi DUN Gurun yang sebelum ini turut dituntut oleh DAP. 

PKR sebelum ini memberi 'amaran keras' bahawa kerusi Parlimen dan DUN yang dimenanginya pada PRU13 tidak akan dikorbankan kepada parti lain dalam Pakatan Harapan. 

Parti itu juga tidak akan melepaskan kerusi yang kalah tipis kepada sekutunya.

Di samping itu, PPBM, parti baharu pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Seri Mukhriz juga telah 'menempah' kerusi Parlimen dan DUN di negeri Kedah.

Jika tiada tolak ansur, PAN mungkin akan 'menceroboh' kerusi-kerusi yang difikirkan boleh menang dan ini sekaligus memberi ruang berlakunya persaingan empat penjuru.

Namun demikian PAN juga perlu berfikir panjang, tanpa sokongan PKR ,PPBM dan DAP, calon mereka juga tidak akan menang. 

Jika tidak diberikan kerusi pun, parti itu mungkin juga mengambil tindakan 'memboikot' atau menutup bilik gerakan selepas tarikh penamaan calon seperti yang pernah berlaku pada parti pembangkang pada PRU sebelum ini.   

Pertembungan antara parti pembangkang dalam pakatan di satu-satu kawasan tidak dinafikan akan berlaku seperti mana pada pililhan raya negeri (PRK) Sarawak dan juga setengah kawasan pada PRU13. - Kedahnews.com  

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com