Pakatan Pembangkang Dijangka Berkubur Lagi Selepas PRU14?


Gabungan parti dalam Pakatan Harapan dijangka dikuburkan oleh DAP jika gabungan empat parti pembangkang DAP, PKR, PAN dan PPBM gagal mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Umum masih ingat, selepas  PRU13, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang  'mengisytiharkan'  Pakatan Rakyat (DAP-PKR-PAS) telah berkubur dan PAS dikeluarkan daripada pakatan itu.

Ramai beranggapkan Pakatan Harapan juga terlerai selepas PRU ini.  Tanda-tanda  awal telah pun dapat dilihat sekarang, iaitu perebutan calon Perdana Menteri dan pertikaian  agihan kerusi antara  parti yang tidak adil.  

Bagi anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid, beliau  pula melihat Pakatan Harapan diwujudkan  semata-mata untuk kepentingan sesebuah parti bagi membolehkan mereka bertanding pada PRU14.

Ini berdasarkan pengagihan 165 kerusi Parlimen dalam kalangan komponen pembangkang itu di mana  PPBMdiperuntukkan paling banyak iaitu 52 kerusi, PKR dengan 51 kerusi, DAP 35 dan PAN sebanyak  27 kerusi.

"Kita perlu ingat,  Pakatan Harapan diwujudkan oleh kalangan ahli politik serpihan kerana (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tubuh PKR selepas keluar UMNO begitu juga Tun Dr Mahathir Mohamad yang tubuhkan PPBM manakala Mohamad Sabu pula tubuh PAS selepas keluar daripada PAS.

"Parti-parti ini telah bergabung dengan 'parti dominan' iaitu DAP yang sebenarnya bijak mengatur percaturan. Sebab itu walaupun diperuntukkan dengan hanya 35 kerusi, mereka tidak bersuara kerana mereka mahu biarkan parti Melayu ini berlawan antara satu sama lain," katanya.

Namun tidak sampai seminggu umum agihan kerusi, para pemimpin PAN tidak puas hati  hingga ada yang merayu minta ditambah kerusi, kata Mahdzir yang juga Ahli Perlimen Padang Terap.

Kata beliau lagi, setelah itu  penyokong Anwar, Pro 98 Reformis juga tidak puas hati dengan pencalonan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri pakatan kerana mereka masih mahukan pemimpin mereka(Anwar)diberikan kedudukan itu.

Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan  berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Program Hari Keluarga di Kampung Baru Lembah Permai di Kuala Nerang Kedah, semalam. Beliau   mengulas kenyataan  Dr Mahathir yang bersedia bertanding dalam PRU14 membabitkan satu daripada tiga kerusi Parlimen iaitu Putrajaya, Langkawi atau Kubang Pasu.

"Ini seperti perumpamaan 'walaupun tidur sebantal, mimpi masing-masing lain' yang sebenarnya mereka semua mempunyai agenda tersembunyi untuk parti tersendiri. Sebab itu mereka bergabung, supaya mereka boleh bertanding dalam PRU nanti,"ujarnya.

Jikapun Pakatan Harapan menang, parti gabungan pembangkang akan terus menghadapi masalah  s hati dalam  mengagihkan jawatan menteri kabinet dan serta jawatan lain. 

Sementara jika kalah pula, mereka akan bubarkan pakatan rapuh dan saling menyalahkan seperti mana yang berlaku pada PRU 2013 apabila DAP menyalahkan PAS yang ingin memperkenalkan undang-undang Islam. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com