Padah Langgar Syarat Lesen, 4 Nelayan Thailand Ditahan Di Kuala Kedah


ALOR SETAR - Empat nelayan warganegara Thailand terpaksa menanggung akibat selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam selepas sebuah bot nelayan kelas C jenis pukat tunda dikesa melanggar syarat lesen.

Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Kedah, Lt Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, pihaknya berjaya mengesan sebuah bot nelayan yang berada di kedudukan lebih kurang 2.2 batu nautika Barat Laut Kuala Sala pada jam 4 pagi.

"Bot itu ditahan kerana melanggar kawasan Zon A kerana sepatutnya kawasan yang dibenarkan untuk aktiviti menangkap ialah 15 batu nautika dari pantai seperti yang tertera di dalam lesen bot.

"Kita menahan seorang tekong bersama tiga awak-awak yang berumur antara 22 hingga 51 tahun kerana melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985," katanya.

Menurut Ahmad Kamal,  penahanan itu membawa kepada rampasan 500 kilogram ikan pelbagai jenis.

Jelasnya lagi,  jumlah nilai rampasan itu akan diketahui selepas ikan itu dilelong kepada orang ramai di Jeti Kuala Kedah.

Bot itu dibawa ke jeti Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk siasatan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com