Opsyen Untuk Henti Pendarahan 'Iman' Si Badak Sumatra Berisiko Tinggi


KOTA KINABALU - Opsyen terbaik bagi menghentikan pendarahan dialami seekor badak sumbu Sumatra akibat tumor rahim kini dianggap mempunyai risiko terlalu tinggi.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata Iman, satu-satunya badak sumbu betina yang hidup di dalam kurungan di negara ini, kehilangan banyak darah hari demi hari hingga menjadikannya tidak bermaya.

"Kami telah mengadakan beberapa perundingan dengan pakar veterinar hidupan liar dari Amerika Syarikat, Afrika serta Jerman dan walaupun opsyen terbaik didapati adalah dengan melakukan 'endoscopic cauterizing' terhadap penjujuh, keadaan ketika ini mempunyai risiko terlalu tinggi (jika prosedur itu dilakukan terhadapnya).

"Kami bersetuju untuk cuba mengurangkan pendarahan daripada serviks dan vagina secara tak invasif.

"Kami berharap ini akan memberi masa kepadanya untuk sembuh dan mungkin menghentikan pendarahan," kata beliau dalam kenyataan di sini malam tadi.

Tuuga berkata selera Iman berubah-ubah setiap hari, tetapi bertambah baik sedikit.

Katanya, Iman tidur kira-kira separuh hari di tempatnya bermalam di mana badak itu dipantau dan sekali-sekala meragut daun yang digantung untuknya beberapa kali dalam sehari.

"Kami tahu dia teringin hendak berkubang berdasarkan cara dia memandang ke arah kandangnya.

"Secara berselang-seli, dia diberi peluang berkubang tiga kali setiap hari dan selepas itu dia akan terlena," kata Tuuga.

Iman mula bergelut dengan tumor rahim leiomyoma apabila dia mula mengalami pendarahan rahim pada 14 Dis tahun lepas dan diberi penjagaan di Rezab Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu.

Selepas kematian Puntung pada Jun tahun lepas akibat kanser, kini Iman merupakan satu-satunya badak sumbu betina yang dipelihara di dalam kandang di negara ini.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com