Nampak Macam Restoran Tapi Rupanya Pusat Judi


SEBAHAGIAN individu yang ditahan di sebuah restoran di Taman Cahaya, Ampang semasa sedang leka berjudi oleh pasukan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor petang semalam.

AMPANG - Polis menahan 18 individu termasuk seorang wanita dalam Op Dadu Bookie Kuda di sebuah restoran yang berfungsi sebagai premis perjudian di Taman Cahaya di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 4.10 petang itu, kesemua individu yang berusia antara lewat 30-an hingga 50-an itu ditahan oleh anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Norhizam Bahaman berkata, melalui operasi tersebut, polis telah merampas pelbagai barangan iaitu peralatan elektronik bagi berjudi antaranya tablet dan telefon bimbit serta set mahjong yang terdiri daripada dadu, cip mahjong dan meja.

“Turut dirampas adalah wang tunai bernilai RM23,864,” katanya dalam satu kenyataan.

Norhizam menambah, pihaknya turut mengambil keterangan daripada sembilan individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan.

“Kesemua yang ditahan beserta barang rampasan telah dibawa ke balai polis berhampiran bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya.

Sumber - Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com