Murid Sekolah Rendah Dato Wan Kemara Changlun Terkejut Bila Masuk Kelas


ALOR SETAR - Kebanyakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, Changlun yang memulakan sesi persekolahan tahun ini terkejut dan teruja melihat meja serta kerusi kelas mereka dicat baharu dengan warna yang menarik.

Menurut Guru Besar SK Dato’ Wan Kemara, Mohd Nizam Saidin berkata, mereka sangat teruja melihat kelas yang sangat ceria  dan tidak sabar untuk memulakan sesi pembelajaran.

Katanya, kerja mengecat dilakukan sepanjang cuti persekolahan yang lalu.

“Kami pilih warna pink, biru, turqoise dan pelbagai warna mengikut pilihan guru kelas masing-masing.

“Tujuan kami buat ni untuk beri semangat baru kepada murid dan menceriakan kelas. Bila kelas dah cantik dengan langsir baru, pasti murid akan suka datang ke sekolah,” katanya memetik Sinar Online.

Tambahnya, idea itu datang daripada pentadbir dan guru SK Dato’ Wan Kemara.

“Pihak sekolah memperuntukkan RM1,200 untuk projek keceriaan ini dan kami ambil masa tiga minggu sebelum sekolah dibuka,” ujarnya.

Jelas Mohd Nizam, sebelum ini sekolah memilih untuk menggunakan tikar getah bernilai RM200 untuk satu kelas, tetapi hanya bertahan empat bulan.

“Tahun lepas kami guna tikar getah untuk alas meja murid, tak tahan lama. Kali ni kami cat pula kerana kosnya lebih murah dan tahan lama,” katanya.

Beliau berkata, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) banyak beri sokongan bagi membantu guru menyiapkan kerja mengecat, selain sumbangan kewangan.

“Saya harap dengan suasana pembelajaran yang kondusif ini dapat membantu meningkatkan prestasi pembelajaran murid SK Wan Dato’ Kemara,”katanya.-Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com