Mukhriz Tak Layak Jadi Pemimpin: KJ


KUALA LUMPUR- Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (KJ) terpaksa berterus terang ketika mengulas isu Mukhriz Mahathir tidak layak diberi gelaran pemimpin semata-mata kerana dia merupakan anak lelaki bekas Perdana Menteri Malaysia.

Justeru, jika Tun Mahathir Mohamad ada terbaca komen KJ ini dan masih mahu menonjolkan anaknya itu sebagai bakal Perdana Menteri jika pembangkang menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), elok batalkan saja.

KJ berpendapat Mukhriz, yang pernah dikalahkan bagi merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO sedekad yang lalu, “tidak layak bergelar pemimpin”, berdasarkan komen terbaru ahli parlimen Jerlun itu.

Baru-baru ini media tempatan melaporkan Mukhriz, dalam ucapannya pada satu program di Baling, Kedah menyebut bahawa beliau terpaksa mengaku sebagai rakyat negara Brunei kerana mendakwa kepimpinan Malaysia telah mencemarkan imej negara di mata dunia.

Komen Mukhriz itu berjaya memanaskan politik Kedah sehingga isu ini diperbualkan secara meluas.

Walau begitu, realitinya adalah rata-rata menganggap komennya itu sebenarnya hanya mencerminkan ketidakmatangan beliau sebagai seorang pemimpin politik.

Justeru, KJ mengatakan bahawa kenyataan Timbalan Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu jelas menunjukkan beliau tidak layak diangkat sebagai pemimpin.

Katanya kenyataan Datuk Seri Mukhriz itu juga disifatkannya sebagai satu pendirian yang memalukan.

Menurut KJ, tindakan Mukhriz itu menunjukkan beliau langsung tidak mempunyai semangat kecintaan terhadap negara.

“Adakah calon seperti ini, yang malu mengaku sebagai warganegara Malaysia hendak kita angkat menjadi seorang pemimpin?

“Bagi saya itu adalah pendirian yang memalukan dan ia jelas menunjukkan bahawa beliau langsung tidak ada semangat mencintai negara.

“Pengundi harus menilai semula sama ada pemimpin seperti ini yang sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Parit Buntar di Sekolah Kebangsaan Titi Serong, pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun.

Pada program, itu beliau meluluskan inisiatif bagi penambahbaikkan 6 padang futsal di seluruh Parlimen dengan peruntukkan sebanyak RM300,000. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com